top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Sukuk Kelestarian SME Bank Buka Peluang PKS Berkembang


SME Bank


SME Bank berjaya menerbitkan Nota Jangka Sederhana Islam Kelestarian (IMTN) dengan harga akhir penerbitan mencatatkan 59 mata asas lebih tinggi berbanding Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) lima tahun.


Penerbitan sukuk itu juga membuka jalan kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menuju ke arah ekonomi kitaran hijau.


Pengerusi SME Bank, Datuk Seri Nazir Ariff, berkata penerbitan Sukuk Kelestarian itu membuka peluang yang lebih luas bagi PKS untuk mengembangkan perniagaan, teknologi dan perkhidmatan mereka.


Beliau berkata, penerbitan sukuk itu juga menyokong aspirasi kerajaan dalam memajukan sektor teknologi hijau yang disasarkan dapat menyumbang RM100 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan menghasilkan 230,000 peluang pekerjaan hijau menjelang 2030.

Katanya, sasaran itu juga akan membantu dalam mempercepatkan pemulihan ekonomi negara setelah dilanda pandemik.


"SME Bank berbesar hati untuk menjadi peneraju dalam membuka jalan bagi usahawan PKS menceburkan diri dalam ekonomi kitaran hijau.


"Pelantikan RHB Investment Bank Bhd sebagai Penasihat Utama Tunggal dan Pengatur Utama Tunggal serta Pengurus Utama Bersama (JLM) yang berpengalaman dari AmInvestment Bank Bhd, CIMB Investment Bank Bhd, Maybank Investment Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd telah menyumbang secara langsung ke arah pencapaian ini," katanya dalam kenyataan media pada 3 Ogos 2021/Selasa.


Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail, berkata hasil yang diperoleh daripada penerbitan Sukuk Kelestarian akan menangani masalah pembiayaan yang tidak mencukupi untuk projek hijau dan sosial.


Beliau berkata, hasil itu juga akan meluaskan jangkauan kerana pihaknya dapat membiayai projek yang secara langsung menyokong 11 daripada 17 Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG PBB).


Katanya, pencapaian itu adalah bukti sokongan padu SME Bank terhadap pemulihan ekonomi Malaysia dan pada masa yang sama dapat menjadikan ekonomi kitaran hijau di Malaysia sebagai norma baharu.


"SME Bank telah lama membantu PKS berteknologi hijau melalui Skim Pembiayaan Teknologi Hijau dan kemudahan pembiayaan lain. Kami juga telah diiktiraf oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dengan Anugerah Khas Pembiayaan Tenaga Lestari di bawah kategori Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) akhir tahun lalu.


"Oleh itu, Sukuk Kelestarian SME Bank ini adalah langkah ke hadapan dalam menunjukkan komitmen kami untuk mewujudkan kesan positif kepada masyarakat dan alam sekitar. Ini juga sejajar dengan rangka kerja SDG PBB untuk mencapai masa depan yang lebih baik dan lestari untuk semua," katanya.


Pendekatan kelestarian SME Bank memberi fokus kepada pembangunan lestari, yang mana pihak bank berusaha untuk mendidik dan mencipta nilai jangka panjang untuk pemegang taruhnya termasuk pelanggan, pekerja dan masyarakat serta pada masa yang sama, menyeimbangkan kesan ekonomi, sosial dan persekitaran dalam semua keputusan perniagaannya.

Pendekatan kelestarian SME Bank didasarkan pada tiga tonggak utama iaitu aktiviti perbankan dan amalan perniagaan yang bertanggungjawab serta mewujudkan kesan sosial yang positif.


Sambutan luar biasa dari pelabur telah membolehkan SME Bank memuktamadkan proses penetapan harga dibida lebih 3.56 kali atau RM1.78 bilion daripada jumlah terbitan sebenar berjumlah RM500 juta pada kadar kompetitif 3.10 peratus.

2 views0 comments

Comments


bottom of page