top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

RHB Tawar URUS Bantu Pelanggan B50, Kurangkan Cabaran Kewangan




RHB Banking Group (RHB) terus menyokong segmen pelanggan individu rentan menerusi Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) menerusi kerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Program URUS ialah inisiatif bantuan kewangan berterusan komprehensif bagi mengurangkan masalah kewangan pelanggan kesan COVID-19.


Menerusi program itu, ia tersedia kepada pelanggan B50 yang layak merangkumi isi rumah berpendapatan bawah RM5,880; mengalami kehilangan pekerjaan atau pengurangan 50 peratus pendapatan; kemudahan pinjaman/pembiayaan di bawah program bantuan pembayaran balik sedia ada; dan kemudahan pinjaman/pembiayaan tidak tertunggak melebihi 90 hari pada tarikh permohonan Program URUS.


RHB dalam kenyataan media pada 19 November 2021/Jumaat berkata, semasa permohonan, pelanggan yang layak hanya perlu menyediakan satu dokumen yang menunjukkan pendapatan semasa atau status pekerjaan mereka.


"Ini termasuk penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau bank terkini, borang cukai pendapatan, slip gaji atau baucar bayaran atau surat penamatan perkhidmatan," katanya.


Di bawah Program URUS, pelanggan menerima pelan kewangan individu (PFP) yang mengambil kira kewajipan hutang sedia ada dan jumlah yang mampu diketepikan oleh pelanggan untuk pembayaran balik hutang.


PFP merangkumi pilihan iaitu pengecualian faedah/kadar keuntungan untuk tempoh tiga bulan bermula bulan selepas pelanggan dimasukkan dalam program URUS; serta pengecualian faedah/kadar keuntungan selama tiga bulan dengan pengurangan ansuran untuk tempoh sehingga 24 bulan di mana pembiayaan peribadi dan kad kredit tidak bercagar juga boleh mendapat manfaat daripada pengurangan kadar faedah atau keuntungan dalam tempoh terbabit.


Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli, berkata pengenalan program URUS dengan kerjasama AKPK dan industri perbankan memastikan sokongan holistik disalurkan kepada pelanggan B50 yang layak untuk membantu pelanggan meningkatkan kedudukan kewangan mereka.


Katanya, institusi perbankan itu komited untuk menawarkan bantuan bagi meringankan beban kewangan pelanggan terjejas.


"Kami berempati dengan cabaran dihadapi pelanggan kami yang paling terjejas akibat pandemik COVID-19 dan kami komited untuk terus menawarkan bantuan.
"Permohonan dibuka sehingga 31 Januari 2022 dengan proses permohonan mudah dengan hanya memerlukan dokumentasi asas.

"Kami juga menggesa pelanggan yang tidak layak untuk Program URUS menghubungi kami jika mereka masih menghadapi masalah kewangan bagi membincangkan lebih lanjut keperluan kewangan mereka," katanya.


Setakat akhir Oktober lalu, kumpulan menyediakan Bantuan Bayaran/Pembayaran Balik berjumlah RM44.5 bilion kepada lebih daripada 300,000 pelanggan runcit dan lebih 14,000 pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

4 views0 comments

Comments


bottom of page