top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Prestasi Perbankan Dijangka Lebih Kukuh Pada 2022




Prestasi sektor perbankan dijangka lebih baik pada tahun 2022 sejajar dengan penurunan ketidaktentuan yang dicetuskan pandemik COVID-19 susulan tercapainya imuniti kelompok, kata penganalisis.


HLIB Research berkata, profil ganjaran risiko sektor perbankan terus menuju ke arah aliran meningkat dengan kebanyakan faktor negatif sudah dipertimbangkan oleh pasaran.


Justeru, cabang penyelidikan Hong Leong Investment Bank itu mengekalkan saranan 'Overweight' bagi saham berkaitan sektor perbankan.


"Pada pendapat kami, keperitan COVID-19 akan hilang pada 2022, sementara kedudukan ekonomi dan sektor perbankan hanya akan lebih baik waktu itu.


"Tambahan pula, terdapat kecairan yang mencukupi dalam pasaran. Bagi bank bersaiz besar, kami suka Maybank (TP: RM9.40) berikutan hasil dividennya yang kukuh dan Public Bank (TP: RM4.50) berikutan kualiti pertahanannya," katanya dalam nota penyelidikannya, lapor BH Online pada 2 September 2021/Khamis.


TA Securities pula berkata, peningkatan pantas jangkitan baharu COVID-19 serta langkah membendung penularan pandemik pada Julai telah mendorong sedikit peningkatan dalam rosot nilai pinjaman.


Ia berkata, walaupun ia masih terurus, namun trend pembayaran balik terus menunjukkan sedikit penguncupan dari bulan ke bulan.


"Namun begitu, sokongan daripada separuh pertama yang kukuh dan jangkaan bahawa aktiviti akan meningkat menjelang suku keempat berikutan kepantasan vaksinasi besar-besaran, kami mengekalkan jangkaan pertumbuhan pinjaman 2021 pada 5.2 peratus.


"Kami mengulangi pendirian 'Overweight' terhadap sektor perbankan," katanya.


Sementara itu, Kenanga Research pula mengekalkan unjuran pertumbuhan pinjaman bagi 2021 pada 3.0 hingga 4.0 peratus dan unjuran pertumbuhan deposit kekal tidak berubah pada 3.0 hingga 4.0 peratus bagi tahun ini.


Ia berkata, kemajuan yang lebih baik dalam kadar vaksinasi dilihat menggalakkan dan berharap mencapai imuniti kelompok untuk pembukaan semula ekonomi yang lebih mapan menjelang suku keempat 2021.



0 views0 comments

Comments


bottom of page