top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Perbelanjaan Pengguna 2022 Catat Pertumbuhan Baik - Fitch Solutions




Perbelanjaan pengguna di Malaysia diramal mencatat pertumbuhan baik pada 2022 apabila ekonomi yang lebih meluas kembali pulih, dengan pertumbuhan didorong khususnya penggunaan swasta dan pelaburan tetap, kata kajian Fitch Solutions.

Ia berkata, perbelanjaan isi rumah benar di Malaysia dijangka meningkat 5.1 peratus, peningkatan ketara daripada pertumbuhan hanya 0.5 peratus yang diunjurkan bagi 2021 berikutan kesan COVID-19 yang terus membebankan permintaan domestik.


"Dengan RM768.1 bilion pada 2022, perbelanjaan benar isi rumah akan menjadi 1.8 peratus lebih tinggi berbanding RM754.6 bilion yang dicatatkan pada 2019, iaitu persekitaran sebelum COVID-19," katanya dalam nota nota penyelidikan pada 12 Januari 2022/Rabu.


Fitch Solutions berkata, unjuran perbelanjaan pengguna itu sejajar pandangan pasukan risiko negara agensi penarafan itu bahawa ekonomi secara meluas berkembang 5.5 peratus pada 2022.


Ia berkata, pemulihan ekonomi Malaysia daripada pandemik COVID-19 dijangka perlahan, memandangkan negara ini melaksanakan sekatan dan kawalan pergerakan berterusan selama hampir dua tahun.


Katanya, tinjauan permintaan dalam negeri menjadi lemah dengan ketara, dengan perbelanjaan pengguna pada 2021 berkemungkinan lebih rendah berbanding 2020.


"Kadar pengangguran negara ini akan mula berkurangan pada 2022, menyusut kepada purata 3.9 peratus sepanjang tahun berbanding 4.7 peratus pada 2021," katanya.


Fitch Solutions memberi amaran bahawa ancaman terbesar kepada ekonomi Malaysia adalah kembalinya ledakan kredit isi rumah yang berlaku dekad lalu sejak krisis kewangan global.

Ia berkata, keadaan itu berpotensi mengakibatkan penurunan dalam permintaan domestik di tengah-tengah kemerosotan harga hartanah.


"Ini bukan pandangan teras kami, namun risiko semakin meningkat dengan gangguan ekonomi yang teruk yang ditimbulkan oleh pandemik COVID-19," katanya.


Sementara itu, Fitch Solutions menjangkakan kadar inflasi kekal meningkat pada 2022 dan diunjur mengakhiri tahun ini pada tiga peratus peratus.


Sehubungan itu, ia berkata pasukan risiko negaranya menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2022 kepada 2.25 peratus menjelang akhir tahun.

6 views0 comments

Comments


bottom of page