top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Kajian Dapati Malaysia Potensi Jadi Pemacu Utama Pertumbuhan Global



Penyelidikan baharu Standard Chartered iaitu 'Masa Depan Perdagangan 2030: Trend dan pasaran untuk diperhatikan' menyatakan bahawa Malaysia bakal menjadi pemacu utama pertumbuhan perdagangan global pada masa hadapan.

Eksport Malaysia diunjurkan berkembang pada kadar purata tahunan lebih daripada lapan peratus untuk merentasi AS$498 bilion menjelang 2030.


Dalam kenyataan media pada 7 Disember 2021/Selasa, Standard Chartered berkata penyelidikan itu juga mendapati 43 peratus daripada korporat global kini melakukan atau merancang bagi mendapatkan sumber/mengilang di Malaysia dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.


"Ini adalah bukti bahawa Malaysia akan menjadi pemacu utama pertumbuhan perdagangan global sepanjang dekad akan datang," katanya.


Laporan itu membuat unjuran bahawa eksport global akan menghampiri dua kali ganda daripada AS$17.4 trilion kepada AS$29.7 trilion sepanjang dekad akan datang.

Menurut laporan itu, koridor pertumbuhan masa depan di China dan Singapura akan terus menjadi koridor eksport terbesar untuk Malaysia, masing-masing menyumbang 19 dan 17 peratus daripada jumlah eksport pada 2030.


"India pula adalah koridor eksport yang berkembang pesat untuk Malaysia dengan purata pertumbuhan tahunan 11.8 peratus dari 2020 hingga 2030.


"Malaysia sedang melabur untuk menjadi hab logistik serantau dan membina keupayaan pembuatan termaju," katanya.


Laporan itu berkata, antara sektor yang akan mendominasi eksport pada 2030 ialah jentera dan elektrik, logam dan mineral, serta pertanian dan makanan.


Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia berkata ketersambungan perdagangan adalah enjin penting dalam menggalakkan pembangunan ekonomi dan pengembangan antarabangsa syarikat-syarikat di Malaysia.


Abrar A. Anwar berkata selain meluaskan laluan perdagangan serantau, koridor masa depan masih akan merentasi benua.

"Berlatarkan keadaan ini, kami bekerjasama rapat dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk menumpukan usaha menjadikan globalisasi berfungsi untuk perniagaan di Malaysia, mulai daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) hinggalah kepada syarikat multinasional, selain memacu model yang lebih mampan dan inklusif untuk perdagangan global.


"Ini termasuk mengembangkan rangkaian penyelesaian kewangan mampan kami untuk membantu pelanggan melaksanakan amalan perdagangan yang mampan dan adil merentasi rantaian bekalan mereka," katanya.


2 views0 comments

Comentários


bottom of page