top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Kaji Selidik Dapati 67 Peratus PKS Guna Teknologi Digital - Maybank




Kebanyakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara berupaya memanfaatkan teknologi digital ke dalam operasi perniagaan mereka ketika tempoh mencabar ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Kewangan Komuniti Kumpulan Maybank

Datuk John Chong dalam kenyataan media pada 17 November 2021/Rabu berkata kaji selidik dijalankan pihaknya mendapati 67 peratus PKS menyatakan menggunakan teknologi digital.


Beliau berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan langkah pencegahan lain mendorong PKS menyusun semula model perniagaan, mengalihkan operasi mereka dalam talian bagi mengekalkan perniagaan serta mengatasi gangguan dalam rantaian bekalan.


Katanya, PKS juga menerokai pelbagai platform media sosial seperti Telegram, WhatsApp, Facebook, Instagram dan pelbagai pasaran e-dagang lain.


"Namun begitu, walaupun terdapat peluang ditawarkan oleh teknologi digital, kaji selidik menunjukkan bahawa baki 33 peratus PKS tidak dapat menerima pakai teknologi digital.


"Ini kerana faktor perniagaan mereka tidak sesuai untuk platform dalam talian, kekurangan pengetahuan, kos pelaksanaan yang tinggi, percubaan yag tidak berjaya dalam menggunakan platform digital, barisan perniagaan yang sangat kompetitif, kekurangan kesedaran mengenai penyelesaian digital yang ditawarkan dalam pasaran, dan keengganan menggunakan penyelesaian digital," katanya.


Chong berkata, kaji selidik ini juga mendapati 99.6 peratus daripada responden perniagaan mereka masih beroperasi, walaupun 21.2 peratus terpaksa ditutup sementara semasa PKP 3.0, manakala hanya 0.4 peratus telah menghantikan operasi.

Beliau berkata, 61 peratus pula dilaporkan mempunyai aliran tunai yang boleh mengekalkan mereka selama lebih daripada tujuh bulan sekiranya PKP berterusan, manakala sekitar 24 peratus boleh terus kekal di antara empat hingga enam bulan dan 15 peratus kurang tiga bulan.


Katanya di samping menyokong pelanggan melalui penyelesaian kewangan kami, kumpulan secara serentak memulakan kaji selidik PKS Maybank dengan tujuan untuk menganalisis dan menyelesaikan tekanan dihadapi mereka.


"Adalah penting untuk Maybank memberikan bantuan sewajarnya bukan sahaja melalui pembiayaan tetapi bidang lain seperti meningkatkan kewujudan digital, kecekapan operasi dan sebagainya.


"Maybank mempunyai keupayaan dalam bidang ini seperti melalui pembayaran digital dan platform Sama-Sama Lokal serta aplikasi Biz dalam talian dan keupayaan pembiayaan yang boleh meningkatkan perniagaan PKS dengan kos minimum atau tanpa kos," katanya.

1 view0 comments

Comments


bottom of page