Foto: Unsplash
Pendapatan transaksi e-dagang Malaysia mencatatkan RM267.6 bilion pada suku tahun kedua 2021 melonjak 23.3 peratus berbanding suku tahun yang sama tahun sebelumnya, kata Ketua Perangkawan Malaysia pada 11 Ogos 2021/Rabu.
Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, dua sektor utama mendorong prestasi pertumbuhan itu ialah sektor pembuatan dan perkhidmatan.
katanya prestasi sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan positif dengan hasil RM404.5 bilion iaitu peningkatan 20.5 peratus berbanding tempoh sama tahun tahun lalu berikutan kesan tahun asas perbandingan yang rendah.
“Segmen Perdagangan Borong dan Runcit, Makanan dan Minuman serta Penginapan meningkat 21.8 peratus kepada RM324.6 bilion. Ini diikuti oleh segmen Maklumat dan Komunikasi serta Pengangkutan dan Penyimpanan 14.7 peratus kepada RM59.5 bilion.
“Kesihatan dan Kesenian, Hiburan dan Rekreasi serta segmen Profesional dan Ejen Hartanah juga mengalami tren yang sama iaitu masing-masing merekodkan pertumbuhan 27.3 peratus kepada RM12.2 bilion dan 8.0 peratus kepada RM8.2 bilion,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Uzir berkata, pekerja bagi sektor perkhidmatan yang kini berjumlah 3.6 juta orang dilaporkan merosot sebanyak 25,812 orang iaitu -0.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Menurutnya, perkara tersebut berlaku disebabkan oleh pengurangan pekerja segmen Maklumat dan Komunikasi serta Pengangkutan dan Penyimpanan yang dicatatkan menurun sebanyak 11,297 orang atau -2.4 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2020.
“Kemerosotan pekerja itu diikuti oleh segmen Perdagangan Borong dan Runcit, Makanan dan Minuman dan Penginapan seramai 6,127 orang atau -0.2 peratus. Sementara itu, segmen Kesihatan dan Kesenian, Hiburan dan Rekreasi menyusut -1.7 peratus atau 4,772 orang.
“Segmen Profesional dan Ejen Hartanah juga menurun sebanyak 3,616 orang iaitu -2.0 peratus berbanding suku yang sama tahun lepas,” jelasnya.
Comments