top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

E-dagang Bantu Perniagaan Bertahan Hadapi Impak Wabak Covid-19




E-dagang membantu perniagaan untuk bertahan semasa pandemik COVID-19 dan platform itu menawarkan potensi yang besar kepada mereka untuk berjaya pada masa depan, menurut syarikat teknologi Google.


Pengurus Hal Ehwal Kerajaan dan Dasar Awamnya, Nick Bauer berkata terdapat banyak peluang untuk perniagaan Malaysia terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS), untuk memanfaatkan e-dagang bagi meningkatkan eksport mereka, lapor BERNAMA pada 14 Julai 2021.


Beliau berkata pandemik menguji banyak sektor dan perniagaan tetapi ia turut menunjukkan daya tahan Malaysia dan peluang yang wujud daripada ekonomi digital.


"Google komited untuk memastikan setiap perniagaan di Malaysia mempunyai sokongan dan instrumen yang diperlukan untuk pulih dan bangun semula," katanya pada Hari Eksport eNasional (eNED) 2021.


Syarikat menyediakan tiga cara untuk membantu perniagaan berkembang dengan alat digital Google yang mudah dan percuma.


Pertama, Bauer berkata My Export Score, laporan percuma yang menggabungkan data daripada Google Analytics, Google Ads dan SimilarWeb, mewujudkan skor 'kesediaan pasaran' dengan perincian prestasi antarabangsa laman web perniagaan dan langkah seterusnya (jika ada).


Kedua, katanya pertumbuhan perniagaan akan dibantu dengan alat Market Finder yang akan mengenal pasti potensi pasaran berdasarkan pelbagai faktor.


"Ia (Market Finder) bermula dengan melayari laman web anda dan mengumpulkan maklumat kategori produk yang dapat anda sahkan apabila ia selesai," katanya.

Ketiga, katanya dengan menggunakan Google Maps, ia membantu mewujudkan hubungan langsung antara pelanggan dan perniagaan melalui panggilan telefon, pesanan atau memberikan ulasan.


Bauer berkata, di Malaysia, Google melaksanakan pelbagai inisiatif dan program untuk membantu perniagaan berkembang dengan cepat selain mempelajari kemahiran digital baharu.


Beliau berkata 'Mahir Digital bersama Google' merupakan inisiatif utama.


"Bengkel secara maya membantu peralihan perniagaan tempatan kepada era digital.


"Ia menambah modul baharu untuk membimbing pemilik perniagaan membina kedudukan mereka secara dalam talian dan melakukan jualan dalam talian," kata Bauer.


Beliau berkata, pada 2020, program itu mencapai 15,000 PKS dalam membantu mereka menggalakkan jualan dalam talian dengan menggunakan alat digital Google.


Pada tahun ini, melalui eNED 2021, Google bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk membawa lebih banyak kemahiran dalam program pembangunan pengeksport dan menggalakkan eksport agensi itu dalam usaha membantu PKS dalam perniagaan dalam talian mereka.



4 views0 comments

Yorumlar


bottom of page