top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Bank Negara : OPR Kekal Pada 1.75 Peratus, Inflasi Kekal Tinggi


Bank Negara Malaysia


Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), penanda aras kadar faedah pinjaman dan tabungan, pada 1.75 peratus.

Bank pusat itu dalam kenyataan media pada 3 Mac 2022 berkata, ekonomi global terus pulih dan walaupun kegiatan ekonomi sederhana sedikit baru-baru ini disebabkan oleh penularan semula COVID-19 yang didorong oleh varian Omicron, trajektori pemulihan secara keseluruhan kekal pada landasannya.


Katanya, inflasi kekal tinggi dalam banyak ekonomi disebabkan oleh faktor penawaran dan permintaan.


"Pada masa hadapan, lebih banyak negara akan beralih kepada pengurusan COVID-19 secara endemik, lantas menyokong prospek pertumbuhan global.


"Walau bagaimanapun, konflik ketenteraan di Ukraine telah muncul sebagai risiko utama terhadap prospek pertumbuhan global dan perdagangan, harga komoditi dan keadaan pasaran kewangan.


"Prospek pertumbuhan global juga akan terus dipengaruhi oleh perkembangan berhubung dengan COVID-19, risiko gangguan bekalan global yang berlanjutan dan volatiliti pasaran kewangan yang ketara berikutan pelarasan dasar monetari oleh ekonomi utama," katanya.


Berikut adalah kenyataan media penuh Bank Negara:

Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) pada 1.75 peratus.


Ekonomi global terus pulih. Walaupun kegiatan ekonomi sederhana sedikit baru-baru ini disebabkan oleh penularan semula COVID-19 yang didorong oleh varian Omicron, trajektori pemulihan secara keseluruhan kekal pada landasannya.


Inflasi kekal tinggi dalam banyak ekonomi disebabkan oleh faktor penawaran dan permintaan. Pada masa hadapan, lebih banyak negara akan beralih kepada pengurusan COVID-19 secara endemik, lantas menyokong prospek pertumbuhan global.


Walau bagaimanapun, konflik ketenteraan di Ukraine telah muncul sebagai risiko utama terhadap prospek pertumbuhan global dan perdagangan, harga komoditi dan keadaan pasaran kewangan.


Prospek pertumbuhan global juga akan terus dipengaruhi oleh perkembangan berhubung dengan COVID-19, risiko gangguan bekalan global yang berlanjutan dan volatiliti pasaran kewangan yang ketara berikutan pelarasan dasar monetari oleh ekonomi utama.


Walaupun dengan persekitaran yang mencabar, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.1% pada tahun 2021. Pemulihan pertumbuhan akan menjadi lebih kukuh pada tahun 2022, dipacu oleh pengembangan permintaan global dan perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi berikutan pasaran pekerja yang bertambah baik dan sokongan dasar bersasar yang berterusan.


Jangkaan pembukaan semula sempadan antarabangsa juga akan memberikan sokongan seterusnya kepada pemulihan ekonomi. Kesan terhadap ekonomi akibat peningkatan kes COVID-19 baru-baru ini yang disebabkan oleh varian Omicron dijangka kurang teruk berbanding dengan gelombang sebelum ini berikutan tiada sekatan yang ketat.

Prospek risiko terhadap pertumbuhan terus cenderung ke arah pertumbuhan yang lebih perlahan disebabkan oleh faktor luaran dan domestik.


Hal ini termasuk pertumbuhan global yang lebih rendah daripada jangkaan, ketegangan geopolitik yang berterusan, gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk dan perkembangan berhubung dengan COVID-19.


Inflasi keseluruhan pada tahun 2022 diunjurkan kekal sederhana apabila kesan asas daripada inflasi bahan api semakin luput.


Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka kembali ke paras wajar kepada sekitar purata jangka panjangnya apabila kegiatan ekonomi terus meningkat dalam keadaan persekitaran kos yang tinggi.


Walau bagaimanapun, inflasi teras dijangka sederhana dengan risiko inflasi yang lebih tinggi dapat dibendung sebahagiannya oleh keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi dan dalam pasaran pekerja.


Prospek inflasi terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global berikutan risiko gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan.


MPC menyifatkan pendirian semasa dasar monetari adalah wajar dan akomodatif. Langkah-langkah fiskal dan kewangan akan terus memberikan sokongan kepada kegiatan ekonomi.


Dalam keadaan semasa yang tidak menentu, pendirian dasar monetari akan terus ditentukan oleh data baharu serta kesannya kepada prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

1 view0 comments

Comments


bottom of page