top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Untung Bersih Hartalega Melonjak Kepada RM914 Juta


Sumber Grafik: Facebook Hartalega

Hartalega Holdings Bhd merekodkan lonjakan keuntungan bersih kepada RM914.0 juta pada suku kedua berakhir 30 September 2021 daripada RM544.96 juta pada suku kedua 2020.

Pengeluar sarung tangan nitril itu dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia pada 2 November 2021/Selasa berkata pendapatannya pula melonjak 49.4 peratus kepada RM2.01 bilion berbanding RM1.34 bilion sebelum ini, disebabkan hasil jualan yang lebih tinggi berikutan kenaikan harga jualan purata (ASP).


Kumpulan itu berkata ia akan terus mengembangkan kapasitinya di Kompleks Pembuatan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC) di Sepang selaras dengan permintaan sarung tangan getah semakin meningkat di peringkat global.


Setakat ini, lapan daripada 10 barisan pengeluaran di Kilang 7 sudah ditauliahkan.


Selepas pentauliahan penuh, Kilang 7 mempunyai kapasiti tersedia sebanyak 2.7 bilion keping setahun.


"Pembinaan untuk pengembangan akan datang di bawah NGC 1.5, sedang dijalankan dan kumpulan itu menyasarkan untuk mentauliahkan barisan pengeluaran pertama menjelang April 2022.


"NGC 1.5 merangkumi empat kilang pengeluaran tambahan yang akan menghasilkan 19 bilion keping sarung tangan kepada kapasiti pemasangan tahunan," kata Hartalega.


Dengan siapnya NGC 1.5, kapasiti pemasangan tahunan kumpulan akan meningkat kepada 63 bilion keping setahun.


Purata harga jualan sarung tangan merosot daripada kemuncaknya pada separuh pertama tahun kewangan hinggalah ke separuh kedua tahun kewangan.


Penurunan harga jualan purata dalam beberapa bulan kebelakangan ini disebabkan peningkatan bekalan daripada pembuat sarung tangan utama serta permintaan sederhana kerana pelanggan menyelaraskan inventori memandangkan penurunan harga jualan.


Sektor ini pada pasca pandemik dijangka mengalami peningkatan struktur dalam permintaan berikutan peningkatan dalam penggunaan sarung tangan daripada pasaran baharu muncul dengan penggunaan per kapita rendah dan kesedaran terhadap kebersihan yang tinggi.

3 views0 comments

Comentarios


bottom of page