top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

TRAGEDI KEMALANGAN | 10 Maut Termasuk 8 Kanak-Kanak Kemalangan Babit Empat Kenderaan Di ELITE


Sumber: Tangkap Layar Twitter BERNAMA TV selepas diedit bagi menghormati sensitiviti.


10 individu termasuk lapan kanak-kanak maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) USJ, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Shah Alam, di sini, malam tadi (17 Disember 2021/Jumaat)

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, kemalangan itu membabitkan dua Proton Wira, sebuah Perodua Axia dan sebuah treler.


Norazam Khamis berkata sepasukan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dan BBP Puchong dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 11.42 malam (17 Disember 2021/Jumaat) untuk operasi menyelamat.


Jelas beliau nahas itu membabitkan 17 mangsa, yang mana 10 daripadanya disahkan meninggal dunia.


"Mangsa yang maut adalah seorang lelaki dan seorang wanita, manakala lapan lagi membabitkan lima kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan," katanya menerusi kenyataan media pada 18 Disember 2021/Sabtu.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi bomba bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.


"Sebuah kren digunakan untuk mengangkat treler terbabit. Semua mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis.


"Bagaimanapun, 10 mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.


BH ONLINE pada 18 Disember 2021/Sabtu melaporkan kemalangan membabitkan tiga kereta yang dirempuh treler ketika berhenti di lorong kecemasan Kilometer 8.3 Lebuhraya Elite menghala Shah Alam malam tadi (17 Disember 2021/Jumaat) menyebabkan seorang ibu dan lapan anaknya maut di tempat kejadian.

Laporan itu menyatakan mangsa yang meninggal dunia adalah Norul Naziah Buyong, 37, dan lapan anaknya berusia antara 10 bulan hingga 16 tahun dilaporkan menaiki Proton Wira dipandu suaminya Abdul Razak Majit, yang cedera ringan.


Lapan anak Abdul Razak yang maut dalam kemalangan itu adalah Muhamad Raid Fathi, 10 bulan, Puteri Nur Ain Syalwana, 3, Muhamad Hidayat Hakimie, 7, Muhamad Rolkaizat Rezky, 9, Muhamad Aizat Shazwan, 10, Razatul Aliah, 16 dan Muhamad Razarul Amin, 17.


Seorang lagi mangsa yang maut adalah seorang mekanik, Muhamad Rahimi Rolex, 27, yang mana ketika kejadian memandu kereta jenis Proton Wira, datang untuk membantu menghidupkan bateri kereta dipandu Abdul Razak.


Selain dua kereta Proton Wira, sebuah lagi kereta jenis Perodua Axia turut berada di lokasi kejadian juga untuk membantu kereta dipandu Abdul Razak.


Jurucakap Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, berkata semasa kejadian keadaan permukaan jalan lebuh raya tiga lorong sehala menghala ke Shah Alam licin akibat hujan lebat.
"Sebuah lori yang datang dari arah belakang secara tiba-tiba gagal dikawal dan merempuh tiga kereta berkenaan yang sedang berhenti di lorong kecemasan.
"Pada masa sama lori berkenaan menyeret kereta Abdul Razak ke kanan lebuh raya sehingga menyebabkan sembilan ahli keluarganya dan Muhamad Rahimi maut ditempat kejadian," katanya kepada BH.

Seorang mangsa yang cedera parah serta dua cedera ringan dihantar ke Hospital Shah Alam, untuk rawatan.


Setakat ini pihak polis sedang menahan pemandu lori terbabit untuk siasatan lanjut.


Hasil ujian air kencing dan ujian pengambilan alkohol juga mendapati pemandu lori terbabit bebas dari dadah dan alkohol.


Difahamkan sembilan beranak yang maut dalam kemalangan di kawasan Rehat dan Rawat USJ, Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Shah Alam itu baru selesai menghadiri kenduri keluarga di Melaka


Berikut adalah mangsa yang terkorban:-

1. Norul Naziah Buyong, 37,

2. Muhamad Razarul Amin, 17,

3. Razatul Aliah, 16,

4. Puteri Hidayah,12,

5. Muhamad Aizat Syazwan,10,

6. Muhamad Rolkaizat Rezky,9,

7. Muhamad Hidayat Hakimie, 7,

8. Puteri Nor Ain Syalwana, 3,

9. Muhammad Raid Fahti, 10 bulan.

10. Mohamad Rahimin Rolex, 27, (mekanik)


Tujuh mangsa yang cedera pula adalah :-

1. Abdul Razak Majit, 50

2. Ihyat Sufi Shokip, 20,

3. Mimiee Nafiesa Abdullah, 19

4. Umie Nasuha Annuwar, 20,

5. Mohd Khairul Kamal, 45, (pemandu lori)

6. Haiqal Haziq Mohd Khairul, 19, (anak pemandu lori)

7. Hafiey Hamziey, 14, (anak pemandu lori)


Salam Takziah...Al-Fatihah

Sumber Grafik: BeenaHomeAlQuran


523 views0 comments

Comments


bottom of page