top of page

Sultan Berkenan Jemaah Solat Jumaat Ditambah

Writer's picture: MOHD EZLI MASHUTMOHD EZLI MASHUT


Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan supaya jumlah jemaah untuk solat Jumaat dinaikkan bagi masjid dan surau dengan kebenaran solat berkenaan di seluruh Selangor.

Dalam satu kenyataan dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office pada 31 Oktober 2021/Ahad, Baginda menitahkan Masjid Negeri atau Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah boleh menerima kehadiran sehingga 3,500 jemaah berbanding 2,000 ketika ini.

Berikut Adalah Kenyataan Penuh :

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menitahkan agar jumlah ketetapan bilangan jemaah dinaikkan untuk Solat Jumaat bagi masjid-masjid dan surau-surau dengan kebenaran Solat Jumaat di seluruh Negeri Selangor.


Sebagai contoh, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah akan boleh menerima kehadiran sehingga 3,500 jemaah berbanding 2,000 jemaah ketika ini.
Masjid-masjid Daerah dinaikkan kepada antara 700 hingga 1,000 jemaah bergantung kepada jumlah kapasiti masing-masing.
Masjid-masjid Institusi pula ditambah kepada antara 500 hingga 1,200 jemaah sementara Masjid Pengurusan, antara 400 hingga 700 jemaah.

Pertimbangan dan keputusan ini diambil setelah Baginda meneliti data-data terbaharu penularan wabak Covid-19 yang memperlihatkan statistik kematian harian telah menurun kepada satu digit bagi Negeri Selangor.


Mengikut statistik, sehingga 27 Oktober 2021, jumlah kematian akibat Covid-19 di Negeri Selangor berjumlah 9,581 orang, di mana separuh daripadanya terdiri daripada orang Melayu beragama Islam.

Bagaimanapun, dengan kelonggaran terbaharu ini, Baginda dengan tegas mengingatkan para jemaah agar mengambil serius dan terus berhati-hati serta sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika beribadat di dalam masjid.


Dalam masa sama, Baginda berharap agar semua rakyat jelata sama-sama menggalas tanggungjawab untuk mengatasi penularan wabak Covid-19 ini. Kita mesti menang dan kembali menjalani kehidupan seperti sediakala.


Baginda tidak mahu kelalaian dalam mematuhi SOP ini menjadi punca kes positif Covid-19 kembali meningkat dan seterusnya memungkinkan berulangnya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.


Tegas Baginda, rakyat tidak mampu lagi berdepan dengan satu lagi “lockdown” seperti yang berlaku sebelum ini, yang ternyata menyusahkan kehidupan seharian rakyat sehingga menjejaskan sumber pendapatan.


Untuk itu, Baginda menyeru sekalian rakyat khususnya umat Islam agar menunaikan solat dan terus memohon doa ke hadrat Allah S.W.T. agar Negeri dan Negara yang kita kasihi ini dijauhi daripada wabak penyakit, bala dan malapetaka.


Sumber: Facebook Selangor Royal Office

31 Oktober 2021/Ahad

13 views0 comments

Comments


bottom of page