top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Selangor Pengeksport Kedua Terbesar Malaysia, Sumbang 19 Peratus - Perangkaan




Selangor berada di kedudukan kedua pengeksport utama negara pada Januari 2022 dengan sumbangan 19 peratus daripada keseluruhan nilai eksport.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata Pulau Pinang kekal menjadi negeri pengeksport utama negara pada Januari 2022 dengan sumbangan sebanyak 31.3 peratus.


Jelas beliau ia diikuti Johor dengan sumbangan 18.3 peratus, diikuti Sarawak (7.8 peratus) dan Kedah (4.1 peratus) dalam laporan statistik eksport import mengikut negeri Januari 2022 yang diterbitkan pada 14 Mac 2022/Isnin.


Beliau berkata, secara keseluruhan jumlah dagangan Malaysia pada Januari 2022 naik 24.8 peratus kepada RM203 bilion dengan nilai eksport turut melonjak 23.5 peratus kepada RM110.7 bilion, manakala import bernilai RM92.3 bilion, meningkat 26.4 peratus tahun ke tahun.


Daripada jumlah itu, katanya, eksport barangan elektrik dan elektronik masih menjadi penyumbang utama sebanyak RM44.8 bilion atau 40.4 peratus daripada jumlah eksport pada Januari 2022.


"Pulau Pinang mencatatkan eksport tertinggi bagi barangan elektrik dan elektronik bernilai RM26.2 bilion (58.5 peratus), diikuti Selangor (RM6 bilion, 13.3 peratus) dan Johor (RM4.8 bilion, 10.7 peratus).


"Secara keseluruhannya, eksport lebih tinggi direkodkan bagi kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (+RM5 bilion), Johor (+RM4 bilion), Sarawak (+RM3.7 bilion), Selangor (+RM3.6 bilion), Kedah (+RM1.8 bilion), Sabah (+RM1.4 bilion), Pahang (+RM732.3 juta), Labuan (+RM713.8 juta), Terengganu (+RM511.0 juta), Kuala Lumpur (+RM278.9 juta), Kelantan (+RM66.2 juta) dan Perlis (+RM33.1 juta).


"Bagaimanapun, eksport menyusut di Perak (-RM610.2 juta), Melaka (-RM197.9 juta) dan Negeri Sembilan (-RM68.9 juta)," katanya


Mohd Uzir berkata, prestasi import mengikut negeri pula turut meningkat RM19.3 bilion atau 26.4 peratus pada Januari 2022 berbanding bulan sama tahun sebelumnya.


Beliau berkata, peningkatan import dicatatkan di Selangor (+RM4.7 bilion), Pulau Pinang (+RM4.0 bilion), Johor (+RM3.4 bilion), Kedah (+RM2.4 bilion), Kuala Lumpur (+RM1.6 bilion), Sarawak (+RM1.2 bilion), Negeri Sembilan (+RM673.0 juta), Pahang (+RM525.5 juta), Melaka (+RM151.9 juta), Perak (+RM143.0 juta), Terengganu (+RM115.1 juta), Sabah (+RM98.2 juta) dan Perlis (+RM22.5 juta).


Namun, katanya, import menurun di Kelantan (-RM162.8 juta) dan Labuan (-RM37.9 juta).

7 views0 comments

Comments


bottom of page