Puteri Elaisha di Kota Puteri - Foto: PKNS
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berjaya melepasi sasaran jualan sebanyak 158 peratus selepas menjual 68 unit hartanah bernilai RM37.8 juta melalui kempen PKNS PLUS Mesti Beli yang diadakan pada 28 dan 29 Ogos lalu.
PKNS dalam kenyataan media pada 22 September 2021/Rabu berkata antara projek mendapat sambutan paling menggalakkan ialah Puteri Elaisha di Kota Puteri, Sijangkang serta pangsapuri Selangorku di Cyberjaya.
Ketua Pegawai Operasi PKNS berkata berdasarkan kepada trend pembelian pelanggan sepanjang tahun ini, PKNS meramalkan permintaan untuk produk hartanah miliknya terus meningkat.
"Kejayaan kempen ini ahasil rancangan taktikal rapi daripada unit jualan PKNS di samping pelbagai tawaran dan insentif hebat diberikan kepada pembeli hartanah PKNS.
"Strategi jualan dan pemasaran PKNS dalam menawarkan produk mesra pengguna selaras dengan keperluan lokasi serta jualan pada titik harga tepat juga terbukti berkesan," kata Suhaimi Kasdon.
Beliau berkata, antara faktor lain mendorong kenaikan penjualan hartanah PKNS pada kempen berkenaan adalah Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang rendah, pengecualian duti setem dan diskaun sehingga 20 peratus.
PKNS PLUS Mesti Beli adalah kempen jualan hartanah untuk orang awam memiliki hartanah PKNS dengan rebat dan diskaun eksklusif khas untuk pembeli pada waktu promosi.
Selari dengan arus kemodenan dalam usaha memastikan program ini dekat di hati pembeli, PKNS berkata pautan Online Experience menjadi salah satu medium terbaharu bagi pemasaran hartanah PKNS, yang memberi kemudahan kepada pelanggan untuk mengakses maklumat mengenai hartanah PKNS.
Kempen bagi program ini dijalankan secara hibrid iaitu digital dan konvensional, manakala penjualan secara atas talian dibuat melalui talian PKNS X Line dan media sosial PKNS Property.
Comments