Sumber Grafik: Facebook Jabatan Mufti Negeri Selangor
Bank Negara Malaysia pada 18 November 2021/Khamis mengumumkan pelantikan semula tiga orang ahli Majlis Penasihat Shariah (MPS) Bank untuk tempoh tiga tahun yang berkuat kuasa 1 November 2021.
Pelantikan semula ahli-ahli MPS ini telah mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan seksyen 53(1), Akta Bank Negara Malaysia 2009.
Foto: Bank Negara Malaysia
Berikut Adalah Kenyataan Media Penuh Bank Negara
Pelantikan Semula Tiga Ahli Majlis Penasihat Shariah Bank Negara Malaysia
Bank Negara Malaysia hari ini ingin mengumumkan pelantikan semula tiga orang ahli Majlis Penasihat Shariah (MPS) Bank untuk tempoh tiga tahun yang berkuat kuasa 1 November 2021.
Pelantikan semula ahli-ahli MPS ini telah mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan seksyen 53(1), Akta Bank Negara Malaysia 2009. Ahli-ahli yang dilantik semula ialah:
1) Sahibus Samahah Dato' Dr. Haji Anhar Haji Opir
Mufti Selangor
2) Marjan Muhammad
Ketua Jaminan Kualiti, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA)
3) Encik Zainal Abidin Jamal
Pengasas dan Rakan Kongsi Kanan, Zainal Abidin & Co. (Peguambela dan Peguamcara)
Dengan pelantikan semula ini, MPS dibarisi sembilan (9) orang ahli yang berkelayakan dan berwibawa dalam kalangan cendekiawan Syariah dan pengamal industri yang berpengalaman luas di dalam dan luar negara, terutamanya dalam bidang Syariah, undang-undang serta ekonomi dan kewangan Islam. Enam (6) orang ahli yang lain ialah:
1) Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar - Pengerusi MPS
Pengasas dan Pengerusi Eksekutif, Kumpulan Amanie
2) Dr. Ashraf Md. Hashim – Timbalan Pengerusi MPS
Ketua Pegawai Eksekutif, ISRA International Consulting Sdn. Bhd.
3) Dr. Mohamad Akram Laldin
Pengarah Eksekutif, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA)
4) Dr. Engku Rabiah Adawiah Engku Ali
Profesor, Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IiBF), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
5) Dato’ A. Aziz. A. Rahim
Mantan Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan Malaysia (EAIC), dan Mantan Hakim Mahkamah Rayuan
6) Encik Burhanuddin Lukman
Mantan Ketua Unit Takaful, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA)
Sebagai badan berautoriti tertinggi dalam penentuan hukum Syarak berhubung dengan kewangan Islam, MPS memainkan peranan penting bagi memelihara kepatuhan Syariah dan mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap industri kewangan Islam yang membolehkan perkhidmatan kewangan ditawarkan mengikut prinsip Syariah.
MPS juga berfungsi sebagai penasihat kepada Bank mengenai sebarang isu Syariah yang berkaitan dengan perniagaan, aktiviti-aktiviti, atau transaksi-transaksi kewangan Islam yang dijalankan oleh Bank.
Sebagai badan berautoriti tertinggi, keputusan MPS menjadi sumber rujukan institusi-institusi kewangan Islam dalam memastikan semua perniagaan dan aktiviti serta produk dan perkhidmatan kewangan adalah mematuhi prinsip Syariah.
Selain itu, keputusan MPS juga menjadi rujukan mahkamah dan penimbang tara dalam mengendalikan dan memutuskan pertikaian atau kes-kes yang berkaitan kewangan Islam.
Bank Negara Malaysia
Comentarios