Grafik Sumber: Facebook MGB
MGB Bhd, anak syarikat LBS Bina Group Bhd, melancarkan projek rumah mampu milik Idaman BSP di Bandar Saujana Putra, yang juga adalah pelancaran pertama daripada keseluruhan enam projek Rumah Selangorku Idaman MBI.
Projek berkenaan terdiri daripada 7,210 unit rumah yang akan menggunakan teknologi konkrit pra-tuang Sistem Binaan Berindustri MGB (IBS).
MGB, melalui jalinan usaha sama dengan PNSB Construction Sdn Bhd telah membentuk Konsortium PCSB-MGB dengan matlamat untuk membina rumah mampu milik Rumah Selangorku Idaman MBI di lokasi strategik yang dilengkapi kemudahan asas.
Rumah Selangorku Idaman MBI, terdiri daripada Idaman BSP (Bandar Saujana Putra), Idaman KITA (Cybersouth), Idaman Perdana (Alam Perdana), Idaman Cahaya (Shah Alam), Idaman Sari (Puchong) dan Idaman Melur (Cybersouth), adalah kediaman bertingkat tinggi pada harga bermula daripada RM250,000 dengan tiga bilik dan dua bilik air berukuran minimum binaan bermula daripada 1,000 kaki persegi bagi setiap unit.
Setiap unit juga dilengkapi dengan dua parkir kereta, tiga unit penyaman udara, satu unit televisyen dan kabinet televisyen, kabinet dapur, tiga buah almari, peti sejuk dan dua unit pemanas air.
Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB berkata pihaknya turut merancang untuk melancarkan lima lagi projek Rumah Selangorku Idaman MBI menjelang tahun 2022.
"Kami berbesar hati untuk melancarkan projek Idaman BSP pada suku keempat 2021 dan menyokong matlamat kerajaan negeri Selangor untuk membina 30,000 rumah mampu milik menjelang tahun 2025.
"Bertepatan dengan keadaan pandemik yang semakin pulih, ini adalah masa yang ideal untuk melancarkan projek ini. Kami berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan negeri untuk melaksanakan projek-projek ini dan memberi tumpuan khusus ke atas kualiti, kecekapan serta menepati jadual yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran semua pembinaan projek Rumah Selangorku Idaman MBI ini," kata , Tan Sri Lim Hock San dalam kenyataan media pada 28 Oktober 2021/Khamis.
Idaman BSP terletak di Bandar Saujana Putra yang sedang berkembang pesat dengan kemudahan akses ke bandar dan lebuh raya utama di samping berhampiran dengan Cyberjaya dan Puchong di mana rangkaian kemudahan asas tersedia seperti balai polis, hospital, balai bomba, sekolah dan pusat membeli belah.
Rumah Selangorku Idaman MBI adalah inisiatif dilancarkan Kerajaan Selangor untuk menyediakan rumah mampu milik kepada mereka yang layak.
Di bawah inisiatif ini, warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas dengan pendapatan isi rumah di antara RM 3,001 hingga RM 10,000 sebulan dan pembeli rumah kali pertama di Selangor boleh membuat permohonan.
Tambah Hock San, pihaknya banyak melabur dalam sistem IBS dan menaik taraf kilang IBS untuk meningkatkan kapasiti kepada 6,000 unit setiap tahun.
"Ini sejajar dengan matlamat kami untuk menjadi pembina perumahan terkemuka melalui sistem IBS.
"Dalam mengorak langkah ke masa hadapan, MGB bersedia untuk membina lebih banyak projek Rumah Selangorku Idaman MBI untuk memastikan pengisian tempahan rumah kami secara berterusan bagi tahun-tahun kewangan akan datang," katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai projek Rumah Selangorku Idaman MBI, sila layari https://mgbgroup.com.my atau hubungi 1700-81-9091.
Commenti