Malaysia menerajui terbitan sukuk pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI) dalam kalangan negara ASEAN6, menyumbang AS$3.9 bilion daripada nilai terbitan atau 56 peratus daripada jumlah terbitan sukuk SRI ASEAN setakat November 2021, kata satu penyelidikan.
Laporan penyelidikan itu dikeluarkan oleh Ernst & Young Consulting Sdn Bhd dan Platform Pelaburan Mampan (SIP) Capital Markets Malaysia berkaitan trend pertumbuhan SRI di Malaysia dan lima negara jirannya di ASEAN.
Lima negara itu ialah Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Penerbitan penyelidikan itu mengetengahkan pandangan bagaimana negara-negara ASEAN6 melaksanakan SRI dan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di tengah-tengah landskap pelaburan dan kewangan global yang sedang berkembang dan disokong oleh dasar nasional mereka masing-masing.
"Kami melihat badan korporat dan organisasi Malaysia, beserta dengan organisasi di negara-negara ASEAN lain, melipatgandakan pelaksanaan strategi dan amalan ESG mereka. Usaha yang diambil ini akan meningkatkan daya tahan dan kemampanan jangka panjang mereka," kata rakan pengurusan Malaysia Ernst & Young PLT, Datuk Abdul Rauf Rashid dalam kenyataan media pada 23 Februari 2022.
Menurut penerbitan itu, pihak berkuasa kawal selia ASEAN6 sedang membangunkan dasar dan pelan tindakan sejajar dengan perkembangan dan inisiatif dasar global bagi mencapai Agenda Pembangunan Mampan menjelang 2030.
Ia termasuk pelan hijau, agenda mampan, pelaburan mampan, pelan pembangunan kuasa atau tenaga dan pelan pelaksanaan atau mitigasi perubahan iklim.
Ketika ini, lebih dua pertiga (68 peratus) daripada jumlah bon dan sukuk ASEAN6 ditumpukan kepada pelaburan dalam tiga sektor utama iaitu tenaga (49 peratus), bangunan hijau (10 peratus) dan pengangkutan (sembilan peratus).
Menjelang 2030, ekonomi hijau/karbon rendah ASEAN dijangka menyediakan potensi peluang perniagaan tahunan bernilai hampir AS$1 trilion, manakala sektor tenaga boleh diperbaharui rantau ini dijangka dapat menarik purata pelaburan kira-kira AS$50 bilion setahun dari 2025 hingga 2030.
Sementara itu, pengerusi jawatankuasa pemandu SIP, Lya Rahman menyatakan bahawa pertumbuhan pantas bon dan sukuk mampan ASEAN, ditambah dengan peningkatan tumpuan kepada sektor hijau, menyokong komitmen ASEAN6 bagi mencapai agenda kemampanan global menjelang 2023.
"Prospek pertumbuhan adalah cerah memandangkan peningkatan permintaan pelabur terhadap produk berasaskan kemampanan, terutama dengan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap impak perubahan iklim.
"Usaha Malaysia yang menumpukan kepada bidang pelaburan ini akan dapat mengekalkan trajektori pertumbuhan negara dalam penerbitan sukuk mampan," katanya. lapor BERNAMA pada 23 Februari 2022.
Pembangunan dalam bahagian SRI memangkinkan pertumbuhan pesat bon dan sukuk mampan ASEAN.
Antara 2016 hingga 2020, pasaran ASEAN6 menyaksikan peningkatan ketara kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) pada 198 peratus dalam terbitan bon dan sukuk mampan bagi pembiayaan yang sejajar dengan prinsip ESG, dengan nilai terbitan dianggarkan mencecah AS$29.8 bilion setakat November 2021.
Begitu juga, sukuk patuh syariah berasaskan kemampanan berkembang pesat pada 278 peratus CAGR dan dianggar mencecah AS$7 bilion pada November 2021.
Comments