PASUKAN Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dari Balai Bomba Zon Klang melihat sekumpulan besar anak ikan muncul pada permukaan air ketika fenomena air laut pasang besar dekat Pengkalan Nelayan Tok Muda, Kapar di Klang, Selangor pada 4 November 2021. Sumber Foto: UTUSAN
Fenomena air pasang besar yang berlaku pada 4 November 2021/Khamis menimbulkan sedikit kegemparan dan tanda tanya dengan kemunculan sekumpulan besar anak ikan yang timbul ditemukan pasukan bomba dan penduduk kampung di Pengkalan Nelayan Tok Muda, Kapar.
Kejadian demikian dilaporkan Utusan Online pada 4 November 2021/Khamis menjelaskan ia tidak semestinya mencetuskan petanda tsunami.
Justeru, penduduk kampung di sini tidak perlu bimbang mengenai kemunculan anak ikan itu yang mungkin berlaku disebabkan peningkatan paras air lebih tinggi daripada biasa ekoran air laut pasang besar.
Ketua Zon Balai Bomba Klang, Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, walaupun penemuan sekumpulan besar anak ikan itu tidak pernah berlaku sebelum ini, itu bukan petanda bencana lain akan berlaku.
“Apapun, orang ramai tidak perlu risau tentang kehadiran kumpulan anak ikan itu yang biasa dikaitkan dengan kebarangkalian akan berlakunya kejadian tsunami.
“Ini kerana, tidak ada kajian saintifik bagi membuktikan hubung kait antara dua kejadian tersebut,” kata Hussein Ab. Rahman ketika operasi pemantauan fenomena air pasang besar di Pengkalan Nelayan Tok Muda, pada 4 November 2021.
Dalam operasi tersebut, terdapat beberapa premis termasuk jeti dan sebuah warung berhampiran ditenggelami air laut yang parasnya mencecah sehingga 5.6 meter ketika fenomena pasang besar berlaku kira-kira pukul 5.20 pagi.
Hussein menjelaskan, ketinggian air kekal pada paras itu selama 15 minit sebelum mulai surut pada pukul 5.35 pagi.
Kira-kira 200 anggota agensi penguatkuasa dan keselamatan seperti polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Pejabat Daerah Klang dan lain-lain lagi menyertai operasi itu.
Menurutnya, kesemua anggota ini membuat pemantauan di beberapa lokasi berlakunya fenomena berkenaan di Sungai Keramat, Jeti Pulau Ketam, Telok Gong dan beberapa kawasan lain.
Sementara itu Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkata fenomena air pasang besar paling tinggi dijangka melanda negara, terutama di kawasan pantai barat pada bulan November 2021.
Dr Ir Nor Hisham Mohd Ghazali, berkata fenomena itu berlaku kerana beberapa faktor seperti astronomi, kedudukan matahari dan bulan, lapor BH Online pada 4 November 2021.
Katanya, air pasang besar boleh mengakibatkan banjir teruk jika berlaku pertembungan air laut di lembangan sungai disertai hujan lebat.
"Setiap bulan ada dua kali fenomena air pasang besar dan tahun ini, paling tinggi pada bulan ini.
"Fenomena berkenaan adalah perkara semula jadi. Setiap tahun ia terjadi dan kebiasaannya paling tinggi pada sekitar Oktober dan November, namun akan berubah sedikit dari semasa ke semasa.
"Sebagai contoh, hujan berterusan di Kuala Lumpur dan Selangor, air tidak boleh mengalir ke sungai atau laut akibat air pasang, yang secara tidak langsung akan menyebabkan banjir," katanya.
Comments