PENDIGITALAN | Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mendapati peratusan rakyat menggunakan tunai untuk membuat pembayaran turun 11 peratus kepada 78 peratus daripada 89 peratus sebelum pandemik.
Dapatan kaji selidik 'PayNet Digital Payments Insights Study 2022' yang dikeluarkan pada 6 APRIL 2022 menunjukkan bahawa rakyat Malaysia masih lagi banyak menggunakan tunai bagi pembayaran, namun pergantungan kepada tunai telah susut, sama seperti dapatan di negara-negara lain.
Dalam kenyataan media PayNet pada 6 APRIL 2022 berkata bagaimanapun, rakyat Malaysia semakin kurang menggunakan tunai dalam pembayaran harian (48.4 peratus) dan kurang di kawasan bandar (36.2 peratus), kemungkinan disumbang oleh peningkatan pembayaran QR, kepercayaan tinggi terhadap kad kredit serta kebimbangan kaedah menggunakan tunai akan menyebabkan mudah dijangkiti virus pandemik.
PayNet berkata perniagaan, kecuali di wilayah Pantai Timur dan selatan, mengalami perubahan dalam tingkah laku pembayaran pelanggan sejak pandemik, dengan tunai tidak lagi menjadi kaedah pembayaran utama manakala di wilayah Utara menunjukkan perubahan paling ketara.
Laporan itu juga menunjukkan keutamaan transformasi digital perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan halangan dihadapi dalam melaksanakan pembayaran digital dan menyenaraikan empat pemacu utama bagi mengekalkan pembayaran digital.
Kaji selidik itu membentangkan dapatan daripada kajian lapangan dalam suku keempat 2021 untuk mendapatkan pemahaman mendalam mengenai keutamaan pembayaran orang ramai dan perniagaan dengan tumpuan khusus kepada relevan penggunaan tunai dan penerimagunaan pembayaran digital oleh PKS.
"Ini adalah kajian sulung dan kami merancang melaksanakan kajian lagi pada masa hadapan untuk memahami dengan lebih mendalam tingkah laku pembayaran rakyat, sikap yang memacu perubahan dalam keutamaan pembayaran, bagi memastikan PayNet dan ekosistemnya mengekalkan infrastruktur pembayaran pusat yang selamat, cekap, diyakini dan inklusif bagi Malaysia," kata Ketua Pegawai Eksekutif PayNet Group, Peter Schiesser.
Bagi maklumat lanjut mengenai laporan itu, boleh layari https://paynet.my/publications/Digital-Payments-Insights-Study-2022.pdf.
Comments