Kebanyakan kos bahan binaan terutamanya besi mencatatkan kenaikan harga pada tahun lalu sekali gus menyumbang kepada peningkatan Indeks Kos Bahan Binaan (IKB), kata Ketua Perangkawan.
Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan media pada 10 Januari 2022/Isnin berkata, harga besi adalah salah satu komponen utama IKB yang terus meningkat sejak Januari 2021.
Katanya, begitu juga dengan kos bahan binaan yang lain seperti simen turut mencatatkan kenaikan harga dan menyumbang kepada kenaikan IKB bagi semua kategori bangunan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
"IKB (tanpa bar keluli & termasuk bar keluli) bagi semua kategori bangunan telah menunjukkan peningkatan di antara 0.3 dan 3.1 peratus bagi Semenanjung Malaysia. Trend yang sama dapat dilihat bagi Sabah dan Sarawak yang masing-masing meningkat di antara 0.1 dan 3.1 peratus, dan 0.4 dan 2.4 peratus.
"IKB (tanpa bar keluli) di Semenanjung Malaysia dan Sarawak merekodkan peningkatan di antara 0.4 dan 1.5 peratus bagi semua kategori bangunan pada Disember 2021 berbanding pada bulan sebelumnya.
"IKB (tanpa bar keluli) turut menunjukkan peningkatan di Sabah di antara 0.1 dan 3.1 peratus bagi semua kategori bangunan kecuali Kerangka Besi 1 Tingkat (Menara sahaja) di Tawau yang tidak menunjukkan perubahan. IKB (termasuk bar keluli) turut meningkat di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak di antara 0.1 hingga 3.1 peratus bagi semua kategori bangunan," katanya.
Kategori bangunan IKB terdiri daripada Bangunan (K.T.) Satu Tingkat, Bangunan (K.T.) 2−4 Tingkat (Berbumbung Rata), Bangunan (K.T.) 2−4 Tingkat (Berbumbung Curam), Bangunan (K.T.) 5 Tingkat dan Lebih (Untuk Penginapan), Bangunan (K.T.) 5 Tingkat dan Lebih (Untuk Pejabat), Bangunan Kayu, Cerucuk Kayu, Cerucuk K.T. dan tambahan dua kategori untuk Sabah & Sarawak iaitu Kerangka Besi Satu Tingkat (Bangunan) dan Kerangka Besi Satu Tingkat (Menara Sahaja).
Mohd Uzir berkata purata harga unit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan mycon 60/ high tensile deformed bars meningkat 21.1 peratus berbanding 18.2 peratus pada bulan sama tahun sebelumnya.
"Kedua-dua harga purata unit bar bulat keluli lembut dan mycon 60/ high tensile deformed bars masing-masing meningkat kepada 20.1 peratus dan 22.2 peratus berbanding pada tahun sebelumnya.
"Peningkatan besi yang tertinggi direkodkan di Johor sebanyak 4.8 peratus, diikuti oleh Miri (3.2 peratus), Kuching (2.8 peratus), Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (1.3 peratus), Kota Kinabalu (1.2 peratus) dan Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (0.2 peratus).
"Di samping itu, harga purata simen turut meningkat secara marginal sebanyak 0.4 peratus pada Disember 2021. Sandakan menunjukkan berlakunya peningkatan simen dengan kenaikan sebanyak 2.5 peratus, diikuti oleh Kota Kinabalu (2.3 peratus), Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (1.9 peratus), Terengganu dan Kelantan (1.5 peratus), Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka, (1.4 peratus), Pahang (0.9 peratus), Johor (0.8 peratus) dan Perak (0.6 peratus)," katanya.
Tambah Mohd Uzir, kenaikan harga bagi kebanyakan bahan binaan seperti keluli pada 2021 tidak dapat dielakkan berikutan kenaikan kos bahan mentah.
"Data harga komoditi World Bank menunjukkan harga bijih besi mencecah paras tertinggi pada AS$214.14 per dry metric tonne unit ($/dmtu) pada Julai 2021.
"Walaupun harga bijih besi menunjukkan penurunan dari Ogos sehingga November, harga bijih besi menunjukkan sedikit peningkatan pada Disember 2021 pada AS$116.96 ($/dmtu).
"Selain harga bijih besi, harga logam dan bahan galian lain seperti aluminium, kuprum, plumbum, timah, nikel dan zink masih tinggi berbanding tahun 2020," katanya.
Pada Disember 2021, harga tembaga dan plumbum mencatatkan sedikit penurunan berbanding November 2021.
Menurut laporan World Bank, harga bijih besi dijangka menurun berikutan permintaan yang lebih perlahan dari China dan peningkatan pengeluaran keluli daripada pemain global.
Bagi tempoh Januari hingga November 2021, India mencatatkan peningkatan pengeluaran keluli sebanyak 19.3 peratus, diikuti oleh Amerika Syarikat (18.9 peratus) dan Jepun (16.8 peratus) berbanding tempoh sama tahun lalu.
コメント