top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

Ekonomi Digital 2021 Malaysia Dianggar Nilai RM88 Bilion, Diunjur RM147 Bilion Pada 2025




Laporan 'e-Conomy SEA Report' yang dikeluarkan Google, Temasek dan Bain & Company mendapati ekonomi Internet Malaysia secara keseluruhan dianggarkan bernilai AS$21 bilion (RM88 bilion) dari segi nilai dagangan kasar (GMV) pada 2021 dan dijangka mencecah AS$35 bilion (RM147 bilion) menjelang 2025.

Laporan itu turut menyatakan Malaysia sedang mengorak langkah ke arah kehidupan baharu selepas pandemik membawa kepada peralihan kekal dalam penggunaan digital.


"Pertumbuhan pasaran digital Malaysia yang meningkat mendadak sebanyak 47 peratus daripada AS$14 bilion (RM59 bilion) pada 2020 kepada AS$21 bilion (RM88 bilion) pada 2021 didorong oleh lonjakan ketara sebanyak 68 peratus e-dagang, yang dijangka berkembang kepada AS$19 bilion (RM80 bilion) menjelang 2025.


"Sektor pengangkutan dan makanan serta media dalam talian juga menunjukkan pertumbuhan dua digit, masing-masing sebanyak 35 peratus dan 14 peratus," menurut laporan berkenaan.


Edisi keenam laporan itu memberikan pandangan baharu ke dalam ekonomi Internet dari enam negara di Asia Tenggara, merangkumi Malaysia serta Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam.


Ia mendalami tujuh sektor ekonomi Internet meliputi e-dagang, pengangkutan dan makanan, perjalanan dalam talian, media dalam talian dan perkhidmatan kewangan digital, serta dua sektor baru muncul yang terdiri daripada teknologi kesihatan dan teknologi pendidikan.


Berdasarkan laporan berkenaan, ekonomi Malaysia membangun dengan pertumbuhan ekonomi Internet yang berterusan.


"Pandemik membawa kepada peralihan kekal dalam penerimaan digital di Malaysia di mana 94 peratus pengguna masih menggunakan perkhidmatan digital hari ini dan 98 peratus berniat untuk meneruskannya pascapandemik.
"Pengguna prapandemik menggunakan secara purata 4.2 perkhidmatan digital tambahan sejak pandemik," katanya.

Selain itu, peniaga digital semakin celik teknologi di mana 43 peratus pedagang digital di Malaysia percaya bahawa mereka tidak akan dapat bertahan daripada pandemik tanpa platform digital.


"Bagaimanapun, ini telah mempercepatkan penerimaan digital oleh pedagang, dengan 98 peratus kini menerima pembayaran digital dan 72 peratus kini menggunakan penyelesaian pinjaman digital," katanya.


Sementara itu, Pengarah Urusan bagi Google Malaysia, Marc Woo berkata, GMV 2021 Malaysia dijangka mencecah AS$35 bilion (RM147 bilion) menjelang 2025.


"Kami melihat bagaimana pandemik membawa kepada peralihan kekal dalam penggunaan digital di Malaysia dengan 81 peratus daripada semua pengguna Internet kini menggunakan perkhidmatan digital.


"Walaupun dengan sekatan pergerakan, perniagaan beralih kepada platform digital untuk terus bertahan dan ramai yang berharap untuk meningkatkan penggunaan alat digital dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.


Beliau berkata pertumbuhan mantap yang dilihat adalah menggalakkan dan dengan inisiatif seperti MyDigital.


"Ia memperkukuhkan komitmen kami untuk membentuk ekonomi digital yang adil, selamat dan inklusif yang menyediakan peluang ekonomi untuk generasi semasa dan masa depan dalam misi kami untuk memajukan Malaysia bersama-sama," katanya.


2 views0 comments

Comments


bottom of page