Sumber Grafik: facebook DHL
DHL Express, penyedia perkhidmatan ekspres antarabangsa terkemuka melabur RM200 juta untuk membina pintu laluan pengisihan jenis automatik penuh pertamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kata Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei
Julian Neo, berkata langkah menubuhkan Kuala Lumpur Gateway bagi mengembangkan operasi itu adalah pelaburan terbesarnya di Malaysia setakat ini, lapor BH Online pada 28 Oktober 2021/Khamis.
Katanya, ia juga selari rancangan pengembangan DHL Express bagi memenuhi permintaan sektor logistik di Malaysia yang bertumbuh pesat dalam tempoh hampir dua tahun ketika pandemik mula melanda negara ini.
"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bahkan sebelum pandemik, DHL Express menyaksikan peningkatan ketara jumlah import dan eksport di Malaysia.
"Justeru, pintu laluan pengisihan automatik penuh akan membolehkan kami menampung pertumbuhan jumlah penghantaran dan bungkusan yang dipacu lonjakan e-dagang rentas sempadan, sekali gus membantu kami terus memenuhi peningkatan permintaan pengguna Malaysia terhadap perkhidmatan logistik yang cekap.
"Ia berperanan penting dalam menyokong iltizam berterusan kami untuk memposisikan Malaysia sebagai antara penggiat logistik utama di rantau ini, serta mengukuhkan lagi hubungan Malaysia dengan rangkaian logistik global," katanya.
Pintu laluan seluas 13,422 meter persegi itu yang terletak di Terminal Kargo Udara KLIA 1 (KACT1), bukan hanya mengembangkan saiz kelengkapan DHL Express sedia ada di Kuala Lumpur sebanyak tiga kali ganda, bahkan meningkatkan kapasiti pemprosesan penghantaran sebanyak lebih 400 peratus.
Kemudahan itu yang dijangka siap menjelang 2023 itu dilengkapi dengan sistem pengisihan automatik yang boleh mengendalikan 10,000 bungkusan sejam selama 24 jam sehari, berbanding 2,400 bungkusan sejam di kemudahan DHL Express dekat Subang ketika ini.
Ia menjadi kemudahan pengisihan automatik kedua dalam rangkaian Asia Tenggara DHL Express selepas Singapura.
Kuala Lumpur Gateway baharu DHL menampilkan teknologi canggih dan direka untuk kecekapan pemprosesan penghantaran optimum, termasuk sistem pendimensian dan penimbangan berkelajuan tinggi.
Kommentarer