Foto Sumber: Laman sesawang DHL
DHL Express, penyedia logistik global bakal memperkenalkan perkhidmatan penerbangan penghantaran menggunakan Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) di Malaysia tidak lama lagi, kata Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei
Julian Neo, berkata langkah itu dilaksanakan menerusi kerjasamanya dengan Pen Aviation, penyedia ekosistem penyelesaian industri.
Beliau berkata, ia membolehkan perkhidmatan penghantaran dilakukan pada situasi yang kritikal, sekali gus memanfaatkan penggunaan teknologi berasaskan Internet Untuk Kebendaan (IoT) dan awan.
Inisiatif itu juga akan dilaksanakan dengan Raya Airways yang bertindak sebagai pengendali dron kargo.
"DHL akan melaksanakan pembuktian konsep (POC) pada penghujung tahun ini untuk menunjukkan kemampuan komersial penggunaan UAS bagi penggunaan logistik di pelabuhan.
"POC akan melaksanakan misi logistik pelabuhan pertama yang dijalankan secara bersama antara DHL, Pen Aviation, dan Raya Airways. Ia secara khusus akan menunjukkan kecekapan kos dan masa, terutama dalam aktiviti pelabuhan komersial," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) secara maya, lapor BH Online pada 20 Oktober 2021/Rabu.
Neo berkata, Pen Aviation akan menggunakan model UAS bersaiz sederhana, Pen55V yang mempamerkan kebolehan dalam mengambil dan menurunkan barangan dengan berat maksimum 12 kilogram.
Beliau berkata, dron kargo menjadi pengangkutan baharu dalam sektor logistik pada masa akan datang dan ia juga seiring dengan langkah kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang ingin mempertingkatkan kebolehpercayaan dalam sektor pengangkutan dan logistik.
Katanya, penggunaan dron dengan teknologi terkini akan membolehkan penembusan logistik diperkukuhkan terutama ke kawasan luar bandar.
"Ia membolehkan kawasan luar bandar dapat diberikan kemudahan yang sama dalam penghantaran barangan terutamanya barangan penting seperti vaksin, ubat-ubatan, dan peranti perubatan," katanya.
Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Pen Aviation, Jean Bernard Boura, berkata DHL dan Pen Aviation akan bekerjasama untuk mengesah dan menggunakan Pen55V bagi penghantaran barangan jarak jauh dengan matlamat jangka masa panjang membina angkatan gabungan Pen55V dan Pen1360V, iaitu dron kargo bersaiz berat.
Beliau berkata, syarikat komited untuk menangani setiap masalah yang memberi halangan kepada perniagaan UAV ketika ini seperti reka bentuk bagi membolehkannya memenuhi piawaian pensijilan penerbangan.
Comments