top of page
Writer's pictureMOHD EZLI MASHUT

CIMB, Standard Chartered Meterai Transaksi Derivatif SLD Nilai RM2.45 bilion




CIMB Bank memeterai transaksi derivatif berkaitan kemampanan (SLD) dengan Standard Chartered Malaysia dalam bentuk swap kadar faedah dengan nilai anggaran RM2.45 bilion bagi tujuan lindung nilai.

CIMB dalam kenyataan media pada 20 Oktober 2021/ Rabu berkata, mengikut data awam yang sedia ada dan terkini dikumpulkan oleh Persatuan Swap dan Derivatif Antarabangsa (ISDA) setakat Januari 2021, urus niaga itu adalah transaksi SLD denominasi ringgit yang pertama di dunia serta transaksi derivatif berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) terbesar di Asia setakat ini dari segi nilai.


"Kami gembira kerana berjaya melaksanakan urus niaga SLD penting ini yang membuktikan kepakaran pasukan perbendaharaan dan pasaran serta cita-cita kumpulan untuk menjadi peneraju kemampanan ASEAN menjelang 2024," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CIMB Group, Datuk Abdul Rahman Ahmad.


Transaksi itu juga disifatkan sebagai memaparkan komitmen bank bagi mencapai komitmen menggerakkan sejumlah RM30 bilion dalam bentuk kewangan mampan menjelang 2024, mencapai pelepasan sifar bersih skop 1 dan 2 GHG menjelang 2030 dan pelepasan sifar bersih GHG sebelum 2050, termasuk pembiayaan pelepasan.


BIMB Investment meterai UNPRI masukkan faktor ESG dalam pelaburan

Urus niaga SLD itu turut disusun dengan membabitkan mekanisme penetapan harga yang mana diskaun (pengurangan kos) atau (penalti) premium akan dilaksanakan bergantung sama ada CIMB Group mencapai sasaran prestasi kelestarian (SPT) yang dipersetujui.


Susulan daripada transaksi itu, CIMB berhasrat untuk bekerjasama dengan pelanggan bagi melaksanakan lebih banyak urus niaga perbendaharaan dan derivatif yang inovatif dengan komponen penetapan harga berkaitan ESG atau penggunaan hasil seperti swap, hadapan serta opsyen yang merangkumi mata wang, kadar faedah, komoditi atau pertukaran asing.



CIMB juga aktif dalam menawarkan produk-produk pembiayaan/pinjaman serta bon/sukuk bercirikan mampan atau yang berkaitan dengan elemen itu, katanya.


Sementara itu, Pengarah Urusan merangkap CEO Standard Chartered Malaysia Abrar A. Anwar, berkata tanggapan terhadap isu-isu ESG menyaksikan perubahan ketara, namun terdapat banyak syarikat yang masih berdepan cabaran dari segi menyepadukan aspek kelestarian.


"Walaupun mereka berhasrat beralih kepada pelepasan sifar bersih menjelang 2050, sebanyak 67 peratus daripada korporat ini masih belum mengambil sebarang tindakan berkaitan kerana kekurangan modal.


"Sebagai pihak perantara utama dalam sistem kewangan, Standard Chartered mencatat kemajuan besar menerusi pelancaran produk-produk ESG baharu dalam penawaran derivatif kami di Asia seperti komoditi, tukaran asing dan kredit, sesuatu yang unik untuk kami sendiri selain ditawarkan di peringkat dunia," katanya.


Penawaran SLD itu meningkatkan lagi rekod prestasi CIMB sebagai penggerak awal dalam instrumen berkaitan kemampanan di rantau ASEAN.


Malah, CIMB juga aktif dalam menawarkan produk-produk pinjaman/pembiayaan mampan dan muncul sebagai antara bank-bank awal di negara ini yang melancarkan pinjaman berkaitan kemampanan (SLL) untuk pelanggan korporat pada 2020 dengan peruntukan sebanyak RM3 bilion sehingga 2024.


Bagi segmen bon/sukuk dalam separuh pertama 2021, CIMB berperanan sebagai pengurus utama untuk kerajaan Malaysia membabitkan tawaran Sukuk Wakalah AS$1.3 bilion dua bahagian yang mana bahagian mampan AS$800 juta adalah sukuk mampan dalam dolar AS pertama di dunia yang ditawarkan oleh sebuah negara.


CIMB juga melaksanakan dan menetapkan harga tawaran sukuk AS$3 bilion oleh kerajaan Indonesia, termasuk bahagian sukuk hijau bernilai AS$750 juta.



6 views0 comments

Comments


bottom of page