Foto Tangkap Layar Facebook Maritim Malaysia
Seramai 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) disyaki warga Indonesia gagal mendarat dekat kawasan pantai Kuala Langat, Selangor apabila bot dinaiki mereka berjaya dipintas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) awal pagi 19 Oktober 2021/Selasa.
Maritim Malaysia sebelum itu berjaya mengesan pergerakan bot KM Sinar Utama selepas menerima maklumat risikan Pusat Operasi Negeri Selangor (PUSOP) mengenai pergerakan bot terbabit disyaki membawa PATI berlepas dari jeti Tanjung Balai, Asahan, Indonesia kira-kira jam 9 malam waktu Malaysia.
Pengarah Maritim Malaysia Negeri Selangor dalam kenyataan media pada 19 Oktober 2021/Selasa memaklumkan, radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia yang berpangkalan di Area Command Centre (ACC) Klang pada jam 12 tengah malam 19 Oktober 2021 mengesan bot sasaran curiga tersebut sedang bergerak dari perairan Permatang Sedepa menuju ke perairan Morib.
“Berikutan itu bot PENGGALANG 10 (milik Maritim Malaysia) yang dalam tugasan Operasi (Op) Benteng Sektor 5 digerakan bagi memintas sasaran dan dibantu bot PR4 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Namun ketika dikesan pada pukul 2 pagi, tekong KM Sinar Utama yang menyedari kehadiran penguat kuasa terus memecut sebelum berlaku aksi kejar mengejar. Tekong terbabit turut melakukan pergerakan berbahaya untuk meloloskan diri serta cuba menghampiri kawasan pantai,” kata Kapten Maritim Mohd. Rosli Kassim.
Beliau menjelaskan bagaimanapun bot terbabit berjaya diusir dan keluar dari perairan negara pada jam 4 pagi. Namun pemantauan terhadap KM Sinar Utama itu terus dilakukan menerusi radar ACC Klang.
Dalam pada itu, Mohd. Rosli memaklumkan pengusiran bot yang membawa 40 pati itu juga sebagai penanda aras kejayaan Maritim Malaysia dalam menyelamatkan perairan negara daripada di masuki tekong secara haram.
“Ini juga sebagai satu usaha mencegah penularan wabak Covid-19 melalui Op Benteng. Aset-aset laut Maritim Malaysia sentiasa melaksanakan rondaan rutin dengan pemantauan rapat bagi mengesan sebarang sasaran curiga di perairan negara dan memastikan tidak dibolosi dengan mudah oleh penjenayah.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang berusaha dan mencabar undang-undang Persekutuan demi kedaulatan negara,” katanya.
Berikut adalah kenyataan media penuh Maritim Malaysia
𝗢𝗣 𝗕𝗘𝗡𝗧𝗘𝗡𝗚: 𝗠𝗔𝗥𝗜𝗧𝗜𝗠 𝗠𝗔𝗟𝗔𝗬𝗦𝗜𝗔 𝗞𝗘𝗦𝗔𝗡 𝗗𝗔𝗡 𝗚𝗔𝗚𝗔𝗟𝗞𝗔𝗡 𝗖𝗨𝗕𝗔𝗔𝗡 𝗦𝗘𝗟𝗨𝗗𝗨𝗣 𝟰𝟬 𝗣𝗔𝗧𝗜 𝗗𝗜 𝗣𝗘𝗥𝗔𝗜𝗥𝗔𝗡 𝗦𝗘𝗟𝗔𝗡𝗚𝗢𝗥
𝗣𝗘𝗟𝗔𝗕𝗨𝗛𝗔𝗡 𝗞𝗟𝗔𝗡𝗚, 𝟭𝟵 𝗢𝗸𝘁𝗼𝗯𝗲𝗿 - Maritim Negeri Selangor telah berjaya memintas dan menghalau cubaan menyeludup masuk 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) oleh sebuah bot KM SINAR UTAMA dari Indonesia sekitar jam 4.00 pagi tadi.
Pengarah Maritim Malaysia Negeri Selangor Kepten Maritim Rosli bin Kassim berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor (PUSOP) telah menerima maklumat risikan berkaitan pergerakan sebuah bot disyaki membawa PATI telah keluar dari Tanjung Balai, Asahan sekitar jam 9.00 malam semalam dengan membawa lebih kurang 40 orang PATI warganegara Indonesia dan dipercayai menuju ke perairan Selangor.
Pada lebih kurang jam 12.20 malam, radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia yang berpangkalan di Area Command Centre (ACC) Klang telah mengesan bot sasaran curiga tersebut sedang bergerak dari perairan Permatang Sedepa menuju ke perairan Morib.
Berikutan itu bot PENGGALANG 10 (MARITIM) yang dalam tugasan OP BENTENG Sektor 5 telah digerakan bagi pemintasan sasaran dengan dibantu bot PR4 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Sekitar jam 2.00 pagi tadi, PENGGALANG 10 dan PR4 tiba di lokasi dan telah bertembung bot disyaki berwarna merah/biru dengan nama KM SINAR UTAMA yang membawa PATI, lalu mengarahkan untuk berhenti, namun tekong KM SINAR UTAMA bertindak agresif memecut laju dan melakukan pergerakan merbahaya yang bertujuan meloloskan dari ditahan serta berusaha merapat ke kawasan pantai.
PENGGALANG 10 dan PR4 terus menghalang tindakan KM SINAR UTAMA dengan menghimpit dan membayangi secara kejar buru sehingga ke laut lepas bagi menghindar daripada menuju dan mendarat di pantai.
Dalam tempoh kejar buru hampir satu jam tiga puluh minit itu, KM SINAR UTAMA masih berdegil untuk berhenti serta bergerak secara agresif dan merbahaya.
PENGGALANG 10 dan PR 4 seterusnya melaksanakan tugas pengusiran dengan membayangi KM SURIA UTAMA keluar dari perairan negara sepenuhnya sekitar jam 4.00 pagi, seterusnya dipantau rapat oleh radar SWASLA di ACC Klang.
Commentaires