
KERJAYA | Kaji selidik terbaharu oleh Randstad menunjukkan lebih satu pertiga atau 35 peratus pekerja tempatan sedia meninggalkan majikan sedia ada untuk mendapatkan gaji yang lebih setimpal dengan peningkatan kos sara hidup di negara ini.
Daripada senarai 16 nilai yang dimahukan pekerja, rakyat Malaysia meletakkan 'gaji dan manfaat yang menarik' sebagai elemen paling penting untuk mencari majikan yang ideal.
Pengarah Negara Randstad Malaysia berkata rakyat negara ini mahukan supaya majikan dapat menyokong perkembangan profesional mereka sebagai satu cara untuk dinaikkan pangkat ke jawatan lebih berprestij, sekali menerima gaji lebih tinggi.
Fahad Naeem berkata, majikan yang memberikan laluan kenaikan pangkat lebih jelas berkemungkinan besar dapat menarik kumpulan bakat lebih besar kerana ia menunjukkan komitmen syarikat itu untuk menjadikan pekerja mereka lebih berjaya.
"Apabila bakat diberikan peluang untuk berkembang dalam sesebuah syarikat, mereka juga kurang berkemungkinan untuk mempertimbangkan tawaran daripada organisasi lain.
"Memandangkan mereka berasa bernilai dalam syarikat sekarang, pekerja akan lebih bermotivasi untuk memacu kejayaan sesebuah perniagaan," katanya dalam kenyataan media pada 3 Julai 2023.
Kaji Selidik Jenama Majikan Randstad 2023 dijalankan pada Januari lalu membabitkan 163,000 responden merentasi 32 pasaran, termasuk 2,529 individu di Malaysia.
Sementara itu, kaji selidik sama mendapati 36 peratus responden di negara ini menyatakan pertimbangan untuk meninggalkan pekerjaan mereka sekarang bagi peluang pertumbuhan kerjaya yang lebih baik.
Mengulas perkembangan itu, Fahad berkata kemajuan teknologi yang pesat mengubah dan mentakrifkan semula banyak peranan serta tanggungjawab pekerjaan di Malaysia.
"Ini menyebabkan ramai pekerja berasa bimbang tentang keselamatan kerja kerana tekanan besar yang dikenakan ke atas mereka untuk menyesuaikan dan menyepadukan teknologi ke dalam kerja yang dilaksanakan.
"Pekerja hari ini mahu bekerja untuk syarikat yang boleh melengkapkan mereka dengan alat dan pengetahuan yang diperlukan supaya berasa lebih bersedia untuk menyesuaikan diri dengan perubahan itu," katanya.
Beliau menambah, 81 peratus pekerja Malaysia menganggap pembangunan profesional penting, namun hanya 61 peratus mempunyai peluang yang mencukupi untuk berbuat demikian.
"Kira-kira 85 peratus responden menyatakan bahawa peningkatan kemahiran dan latihan semula adalah penting bagi mereka, tetapi 24 peratus tidak menerima sokongan yang mencukupi daripada majikan.
"Daripada generasi yang ditinjau, golongan millennial adalah yang paling banyak melabur dalam peningkatan kemahiran dan kemahiran semula, diikuti oleh Generasi X dan Generasi Z," katanya.
Fahad berkata, dengan kemunculan teknologi baharu juga, banyak jawatan pekerjaan mengalami perubahan ketara, yang memerlukan peralihan yang dalam kemahiran pekerja.
"Majikan yang secara proaktif membangunkan program latihan yang menarik akan memupuk budaya pembelajaran dan inovasi berterusan dalam organisasi.
"Ini akan meletakkan mereka berada di kedudukan yang lebih baik sebagai majikan kerana bakat di Malaysia sentiasa mencari organisasi yang melabur dalam pembangunan untuk jaminan pekerjaan serta kerjaya yang lebih bermanfaat," katanya.
Comments