
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya, melancarkan Panduan Belanjawanku untuk Individu dan Keluarga di Malaysia 2022/2023.
Turut diperkenalkan adalah Aplikasi Mobil Belanjawanku, untuk menyediakan anggaran perbelanjaan bulanan minimum untuk pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan untuk isi rumah yang berbeza.
Mula diperkenalkan pada 2019 untuk penduduk Lembah Klang, Panduan Belanjawanku diperluaskan untuk meliputi 11 lagi bandar utama di seluruh negara.
KWSP dalam satu kenyataan pada 13 Jun 2023 berkata, panduan berkenaan memperincikan perbelanjaan minimum mengikut kategori isi rumah (bujang, keluarga atau warga emas) dan menyediakan cadangan mengenai peruntukan perbelanjaan, perbelanjaan pilihan dan simpanan persendirian.
Aplikasi Belanjawanku, yang dibangunkan sendiri oleh pasukan KWSP, telah dimuat naik di semua gedung aplikasi pada Ogos 2022.
"Aplikasi ini mengandungi ciri interaktif untuk pengguna memantau perbelanjaan mereka secara dalam talian.
"Pengguna aplikasi boleh memilih untuk menggunakan panduan Belanjawanku atau kaedah Rule of Thumb 1 untuk memantau perbelanjaan bulanan mereka. Sehingga Mei 2023, aplikasi Belanjawanku telah merekodkan jumlah muat turun sebanyak 12,000," kata kenyataan itu.
Panduan Belanjawanku telah diguna pakai oleh pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) KWSP dalam memberikan bimbingan dan nasihat kewangan kepada ahli, seterusnya membentuk asas kesejahteraan kewangan yang kukuh dan kualiti hidup yang lebih baikbdalam jangka panjang.
Projek Belanjawanku adalah sebahagian daripada program celik kewangan KWSP, manakala penyelidikan terperinci dilakukan oleh pasukan penyelidik di SWRC.
Penyelidikan itu membabitkan soal selidik dan perbincangan kumpulan fokus yang terdiri daripada penyelidik daripada universiti tempatan, wakil daripada KWSP, Agensi Kaunseling dan Pengurusan dan Pengurusan Kredit (AKPK), Unit Perancang Ekonomi, Majlis Perundingan Gaji Negara, agensi bukan kerajaan, Bank Negara Malaysia, dan pakar industri.
Buku Belanjawanku boleh dimuat turun secara percuma di laman web KWSP di www.kwsp.gov.my . Aplikasi Belanjawanku juga boleh dimuat turun secara percuma di Apple App Store, Google Play dan Huawei App Gallery.
Comentarios