Kajian Dapati Organisasi Tidak Tahan Lama Jika Hala Tuju Statik
- MOHD EZLI MASHUT
- Jun 22, 2023
- 2 min read

Kaji Selidik Harapan dan Kebimbangan Tenaga Kerja Global 2023 mendedahkan sejumlah 51 peratus pekerja Malaysia percaya organisasi tempat mereka berkhidmat tidak bertahan menjangkaui sedekad jika hala tuju semasa dikekalkan.
PwC menjelaskan dapatan itu adalah sejajar dengan 51 peratus ketua pegawai eksekutif (CEO) dalam tinjauan 2023 di mana wujud sentimen mendesak untuk kepimpinan perniagaan melaksanakan transformasi jangka panjang.
Pengerusi PwC Asia Pasifik dan China, Raymund Chao, berkata realiti baharu mengajar semua perubahan perlu dilaksanakan berterusan.
"Persaingan terus meningkat, risiko gangguan kekal dan jangkaan masyarakat meningkat, yang secara kolektif, mencabar daya maju setiap perniagaan.
"Untuk benar-benar berkembang dalam persekitaran yang terus berkembang, organisasi mesti berubah dan menyesuaikan diri dengan pantas. Sungguh menggalakkan untuk melihat bahawa pemimpin perniagaan dan pekerja di rantau ini berkongsi visi ini," katanya dalam satu kenyataan pada 22 Jun 2023.
PwC melaksanakan kaji selidik membabitkan 19,500 pekerja di Asia Pasifik dengan 1,500 daripadanya adalah pekerja Malaysia.
Secara kolektif, tinjauan itu mendedahkan 39 peratus daripada pekerja Asia Pasifik percaya organisasi mereka tidak akan bertahan lebih 10 tahun.
Chao berkata, organisasi hanya mampu mencipta semula keupayaan perniagaan jika kaki tangan mereka dibabitkan sepenuhnya, bermotivasi dan bersemangat untuk terus memberi sumbangan.
"Adakah pekerja di Asia Pasifik bersedia untuk perjalanan ini? Tinjauan kami mengenal pasti enam faktor yang menyokong kesediaan ciptaan semula mereka iaitu daya maju perniagaan, sentimen pekerja, kemahiran tenaga kerja, teknologi baru muncul, persekitaran kerja dan kesan iklim.
"Keputusan ini sepatutnya menjadi 'wake up call' untuk syarikat di seluruh rantau ini, yang kebanyakannya telah bergelut dengan kekurangan kemahiran dan bakat selama bertahun-tahun," katanya.
Kaji Selidik Harapan dan Kebimbangan Tenaga Kerja Global 2023 PwC juga mendedahkan 28 peratus pekerja Malaysia berkemungkinan menukar majikan dalam tempoh 12 bulan akan datang (berbanding 16 peratus tahun lalu), menunjukkan kesediaan mereka untuk menguji pasaran pekerjaan jika keperluan tidak dipenuhi dalam pekerjaan semasa.
Dapatan itu selaras dengan kira-kira 30 peratus pekerja di Asia Pasifik yang akan bertukar pekerjaan dalam tempoh 12 bulan akan datang (meningkat dari 10 peratus pada 2022).
"Sejumlah 47 peratus responden Malaysia menyatakan minat untuk meminta kenaikan gaji dan 38 peratus mencadangkan untuk kenaikan pangkat.
"Ini menekankan keperluan untuk strategi ganjaran yang lebih holistik untuk terus memotivasikan pekerja di tengah-tengah kebimbangan kos sara hidup semasa dalam pasaran.
"Rakyat Malaysia tidak bersendirian dalam meneroka ganjaran yang lebih baik, dengan kira-kira 40 peratus pekerja Asia Pasifik menyatakan kemungkinan meminta kenaikan gaji atau kenaikan pangkat dalam tempoh masa yang sama.
Selain itu, kajian PwC juga menunjukkan 50 peratus daripada responden Malaysia percaya kemahiran diperlukan untuk pekerjaan mereka mengalami perubahan ketara dalam tempoh lima tahun akan datang.
"Kakitangan Malaysia memberikan kepentingan yang lebih tinggi kepada kemahiran manusia seperti kemahiran berfikir kritis (78 peratus), kemahiran kepimpinan (75 peratus) dan kemahiran kolaboratif (74 peratus) berbanding kemahiran teknikal atau perniagaan teras.
Pemimpin Pengurusan Tenaga Kerja PwC Malaysia, Kartina Abdul Latif berkata, tidak dapat dinafikan, menangani cabaran masa depan adalah penting apabila Malaysia beralih kepada ekonomi berasaskan pengetahuan.
"Selain mengetahui jurang kemahiran kritikal di tengah-tengah organisasi, pemimpin boleh melakukan lebih banyak lagi untuk meneroka isu yang menjadi perhatian pekerja dan memberi mereka jalan untuk membentuk kerjaya dalam persekitaran yang tidak menentu ini.
"Di tengah-tengah peningkatan kerja jauh dan tenaga kerja yang lebih perkasa, adalah penting untuk memahami kesan keputusan perancangan tenaga kerja ke atas pekerja dan kesejahteraan mereka," katanya.
Comments