
BERITA | KEPINTARAN BUATAN | TORONTO: Antara pelopor awal kecerdasan buatan (AI) yang dipanggil 'Godfather AI', Geoffrey Hinton, menggesa kerajaan di seluruh dunia mendepani pengaruh AI dan memastikan ia tidak mengawal masyarakat.
Hinton menjadi tajuk utama pada Mei apabila beliau mengumumkan akan berhenti selepas sedekad bekerja di Google, bagi membolehkannya bercakap lebih bebas mengenai bahaya AI, sejurus selepas pengenalan aplikasi ChatGPT, lapor AFP pada 29 Jun 2023.
Saintis AI yang sangat dihormati, berpangkalan di Universiti Toronto itu menyampaikan ucapannya di hadapan penonton yang penuh sesak di persidangan teknologi Collision di Kanada.
Persidangan itu menghimpunkan lebih 30,000 pengasas, pelabur dan pekerja sektor teknologi, kebanyakannya ingin belajar bagaimana untuk memandu gelombang AI dan tidak hanya mendengar isu berkaitan bahaya penggunaannya saja atau seruan untuk kerajaan campur tangan.
"Sebelum AI lebih bijak daripada kami, saya fikir orang yang membangunkannya harus digalakkan untuk berusaha keras memahami bagaimana ia boleh mencuba dan mengambil alih peranan manusia.
"Pada masa ini, terdapat 99 orang pintar cuba menjadikan AI lebih baik dan seorang yang sangat bijak cuba memikirkan cara untuk menghentikan ia daripada mengambil alih atau mencari keseimbangan dalam penggunaannya," katanya.
Hinton juga memberi amaran risiko AI harus diambil serius.
"Saya fikir penting untuk orang ramai memahami ini bukan fiksyen sains, ini bukan saja kebimbangan, sebaliknya ia risiko sebenar yang mesti kita fikirkan dan perlu memikirkan terlebih dulu cara menanganinya," katanya.
Hinton juga menyatakan kebimbangan AI akan memperluas ketidaksamaan, dengan keuntungan produktiviti yang besar daripada penggunaannya hanya akan memberi manfaat kepada orang kaya dan bukan pekerja.
"Kekayaan tidak akan pergi kepada orang yang melakukan kerja, ia akan pergi untuk menjadikan orang kaya lebih kaya dan yang miskin bertambah miskin, itu suatu yang sangat buruk kepada masyarakat," katanya.
Beliau juga menunjukkan bahaya 'berita palsu' yang dicipta oleh bot gaya ChatGPT dan berharap kandungan yang dijana AI boleh ditandakan dengan cara yang, sama seperti mana 'watermark' pada wang tunai bank pusat.
"Adalah sangat penting untuk mencuba, sebagai contoh, menandakan semua yang palsu sebagai palsu. Sama ada kami boleh melakukannya secara teknikal, saya belum tahu," katanya. - AFP
Comments