top of page

ASEAN Selaras Peraturan Kawal Selia Pengguna AI, Depani Risiko

Writer's picture:  MOHD EZLI  MASHUT MOHD EZLI MASHUT



KEPINTARAN BUATAN | BERITA | BANGKOK: Negara Asia Tenggara sedang merangka garis panduan tadbir urus dan etika untuk kecerdasan buatan (AI) sebagai 'pengadang' mengawal selia pembangunan teknologi itu.

Perkembangan itu didedahkan oleh lima pegawai rapat dengan inisiatif itu, ketika pengawal selia di seluruh dunia tergesa-gesa merangka peraturan untuk mengawal penggunaan AI, lapor REUTERS pada 19 Jun 2023.


Sehubungan itu, menteri daripada 10 anggota ASEAN pada Februari lalu bersetuju mengenai keperluan untuk membangunkan 'panduan AI' di rantau yang memiliki lebih 668 juta penduduk.


Bagaimanapun, tiada butiran mengenai perbincangan dalam kalangan penggubal dasar serantau yang pernah dibuat sebelum ini.


Menurut pegawai kanan Asia tenggara, inisiatif yang dipanggil Panduan ASEAN mengenai Tadbir Urus dan Etika AI sedang dibentuk dan akan cuba mengimbangi manfaat ekonomi teknologi dengan keperluan mendepani banyak risikonya.


"Penggubalan itu sedang berlangsung dan ia dijangka disiapkan menjelang akhir tahun, sebelum ia diluluskan oleh anggota ASEAN," kata sumber.


Seorang lagi pegawai memaklumkan, kemungkinan kerangka panduan itu akan diumumkan pada Mesyuarat Menteri-menteri Digital ASEAN awal tahun depan.


Jurucakap Kementerian Komunikasi dan Penerangan Singapura, yang akan mempengerusikan mesyuarat itu pada tahun depan, berkata negara itu akan bekerjasama dengan negara Asia Tenggara lain untuk membangunkan 'Panduan ASEAN mengenai Tadbir Urus dan Etika AI'.


Jelasnya, kelak ia akan berfungsi sebagai langkah praktikal yang boleh dilaksanakan untuk menyokong penggunaan teknologi AI yang dipercayai, bertanggungjawab dan inovatif di rantau ini.


Sumber bagaimanapun enggan mendedahkan butiran mengenai bentuk panduan AI itu, memandangkan ia masih pada peringkat awal perbincangan dan tertakluk kepada kerahsiaan.


Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam belum dapat dihubungi untuk mendapatkan reaksi berhubung langkah itu.


Langkah ASEAN untuk menetapkan garis panduan berkaitan AI itu menyusuli tindakan Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) yang dijangka mengeluarkan deraf kod kelakuan AI secara sukarela dalam masa beberapa minggu lagi.


Kod itu akan berkuat kuasa sebelum kelulusan Akta AI, yang kini masih dalam perbincangan.


Seperti rakan sejawatan mereka di Eropah dan AS, pembuat dasar serantau menyuarakan kebimbangan khusus mengenai potensi AI yang boleh mengindustrikan maklumat salah.


Pihak Berkuasa Pembangunan Media Infocomm Singapura, turut memberi amaran menerusi kertas penyelidikan pada bulan ini, mengenai risiko 'halusinasi', apabila AI berupaya menghasilkan kandungan yang pasti lagi meyakinkan.


Sumber juga memberitahu bahawa Singapura yang terkehadapan dalam strategi berkaitan AI di rantau ini, bakal mengetuai perbincangan untuk merangka panduan teknologi itu.

5 views0 comments

Comments


© 2023 - 2025 by Tezla Madani Resources

bottom of page