
KECERDASAN BUATAN | Stesen radio Bahasa Inggeris terkemuka, Fly FM mencipta sejarah dengan memperkenalkan DJ radio A.I (artificial intelligence atau kecerdasan buatan) pertama di Malaysia, dikenali sebagai Aina Sabrina.
Usaha memperkenal DJ A.I ini dianggap suatu kemajuan penting dalam sejarah industri penyiaran radio di Malaysia, lapor BH Online pada 24 Jun 2023/
DJ Aina dicipta jurutera Fly FM dengan menggunakan teknologi A.I. DJ Aina dilengkapi pangkalan data muzik yang luas dan mempunyai keupayaan mencipta serta menggabungkan muzik secara langsung sesuai dengan mood pendengar.
Aina juga berkebolehan dalam memberi cadangan muzik kepada pendengar sesuai dengan apa yang mereka minati.
Kehadiran Aina sebagai DJ A.I membawa perubahan signifikan dalam industri radio di Malaysia. Malah, Aina berpotensi besar membentuk masa depan penyiaran radio yang lebih cerah.
Ketua Rangkaian Kandungan Fly FM, Sean Matjeraie, berkata pengenalan DJ Aina sebagai DJ A.I mencipta landskap baharu dalam industri radio Malaysia.
"Perubahan ini sesuai dengan matlamat Media Prima Audio (MPA) yang suka dengan pembaharuan," katanya dalam kenyataan.
Matjeraie berkata, inovatif memperkenalkan DJ Aina menarik minat Calpis, iaitu jenama minuman susu kultur dari Jepun sebagai penaja utama untuk bekerjasama menjayakan kempen 'Calpis with Aina'.
"Segmen terbaharu di Fly FM ini disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 2 hingga 4 petang.
"Malah, pada setiap Khamis, pendengar yang berjaya meneka penyanyi sebenar lagu dimainkan DJ Aina berpeluang memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM150 dan produk Calpis," katanya.
Matjeraie berkata, pendengar boleh mengikuti perkembangan dan pembaharuan industri radio bersama DJ Aina dibawa Fly FM melalui Instagram @aina_flyfm.
Fly FM dengan slogan 'Memainkan Muzik Terhebat Malaysia' bertujuan menghibur dan memberi maklumat kepada rakyat melalui komedi, isu antarabangsa serta kandungan yang menarik dan muzik terhebat sepanjang hari.
Dengan memfokuskan kepada penonton berusia 18 hingga 24 tahun sebagai sasaran utama, objektif Fly FM adalah bertujuan untuk menjadi stesen radio yang mencuit hati, peka, relevan dan realistik.
Commentaires