top of page

Sistem amaran hujan hulu sungai kurangkan kesan bencana kepala air

Writer's picture:  MOHD EZLI  MASHUT MOHD EZLI MASHUT



Oleh Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo


Bencana kepala air di Jeram Air Putih, Sungai Kemaman yang meragut lapan nyawa dan dua lagi masih hilang, adalah proses alam sering berlaku di negara ini.


Apabila hujan lebat di bahagian hulu lembangan, air akan meluru ke lembah, manakala di bahagian alur sempit, sungai akan mengalir pantas dan paras air naik dengan pantas. Di tapak kejadian mengikut laporan, paras air meningkat mencapai 10 meter, dan apa sahaja sepanjang laluannya akan dihanyutkan.


Inilah peristiwa alam yang berlaku dan mengorbankan nyawa sebuah sekeluarga. Kita sangat bersimpati dan mendoakan keluarga terkorban dalam kalangan diredai.


Saya sering ditanyakan, apakah tempat berisiko begini sudah diketahui, dipetakan dan mempunyai amaran awam?



Jawapan saya, ya dan tidak. Ya kerana semua tempat begini pernah berlaku fenomena sama, ada tempat pernah mengorbankan nyawa dan umumnya sudah diketahui penduduk tempatan. Kajian saintifik mungkin masih terhad, sementara tindakan untuk mengurangkan risiko seperti meletakkan tanda amaran atau memasang sistem amaran awal masih sangat terbatas.


Sebetulnya, bencana kepala air bukan isu sains atau teknikal, tetapi berkaitan dengan kelakuan kemanusiaan. Ia meliputi aspek kurang pengetahuan dan kesedaran, naluri mengambil risiko dan sistem tadbir urus dalam pengurusan lembangan sungai.


Kebanyakan kejadian kepala air menyebabkan bencana boleh dielakkan atau diminimumkan jika tiga perkara di atas diberikan perhatian.


Semua kawasan hulu sungai, khususnya di kawasan jeram dan air terjun ialah tempat mudah berlaku kepala air. Tempat ini ialah lembah sempit, kawasan tumpuan air setiap kali hujan lebat di kawasan hulu sungai.


Kenaikan beberapa meter dalam masa beberapa jam adalah lazim, tetapi kenaikan mencapai 10 meter dalam masa beberapa minit adalah luar biasa. Keadaan luar biasa berlaku apabila curahan atau keamatan hujan ekstrem.


Apabila pengetahuan dan kesedaran mengenai keadaan proses alam yang ekstrem kurang diketahui, kemalangan atau bencana boleh berlaku.


Saya sering mengesyorkan, setiap proses alam menyebabkan bencana perlu dikaji, direkodkan dan didokumenkan. Bahan ini boleh dijadikan rujukan untuk membuat tindakan susulan.


Lebih penting lagi, ia boleh dijadikan bahan penceritaan untuk pembelajaran atau amaran kepada pelancong melawat ke sesuatu lokasi yang sering berhadapan dengan risiko kepala air. Kesedaran mental berhadapan dengan risiko begini membolehkan tindakan menjaga keselamatan harta benda dan nyawa diberikan perhatian tinggi.


Pada masa ini, ramai anak muda suka dengan aktiviti rekreasi lasak. Banyak rintis di dalam hutan atau pendakian disediakan. Kebanyakan rintis ini melalui lurah sempit dan sentiasa berhadapan dengan risiko kepala air.


Proses geologi paling aktif


Semua aktiviti ini berhadapan dengan risiko dan keseronokannya berkait rapat dengan keupayaan berhadapan dengan risiko. Penggiat profesional sentiasa memberikan perhatian kepada isu keselamatan dan membuat persediaan rapi.


Malangnya ramai penggiat amatur tidak memberikan perhatian aspek keselamatan. Kita sering mendengar kemalangan berlaku apabila aspek keselamatan tidak diberikan perhatian serius.


Isu yang lebih penting dan perlu diberikan perhatian ialah sistem tadbir urus mengenai pengurusan lembangan sungai. Sungai adalah kawasan yang mengalami proses geologi paling aktif.


Di bahagian hulu terjadi tanah runtuh, aliran puing, jatuhan batuan dan hakisan tanah. Di bahagian tengah ialah kawasan bongkah, kerikil, pasir dan lodak diangkut oleh aliran deras atau banjir kilat.


Kepala air adalah fenomena banjir kilat yang sering berlaku di kaki perbukitan sebelum sungai mengalir di kawasan dataran. Sementara di kawasan hilir pula, banjir sungai berlaku di musim tengkujuh.


Ini adalah proses alam yang tidak boleh dielak, dalam keadaan biasa ia memberi rahmat dan apabila besar membawa bencana.


Perhatian tinggi perlu diberikan kepada kawasan rekreasi sungai. Kawasan ini lazimnya dibangunkan jabatan perhutanan, majlis daerah dan pengusaha persendirian. Semua kawasan ini perlu dipetakan secara terperinci, khususnya dalam konteks tanah runtuh, aliran puing dan kepala air.


Maklumat pemetaan digunakan untuk merancang aktiviti rekreasi dan tindakan amaran mengenai keselamatan. Sistem amaran awal mengenai hujan lebat di kawasan hulu penting untuk memberikan amaran, sementara kawasan berlindung perlu disediakan dan diuar-uarkan kepada pelancong.


Rekreasi sungai dan pantai sudah menjadi semakin popular negara kita. Ini adalah sebahagian daripada kempen 'Cuti-Cuti Malaysia'. Saya mencadangkan kerajaan negeri mempunyai perancangan rapi mengenai perkara ini, antaranya ialah pemilihan kawasan dan rintis selamat, penyediaan garis panduan jelas dan memberikan perhatian tinggi terhadap isu keselamatan awam.


Kita mempunyai pengalaman lama dalam mengurus pelancongan rekreasi seperti ini, khususnya oleh Taman Negara di Pahang, Jabatan Hutan di Sarawak dan Taman-Taman Sabah. Semua ini perlu dijadikan asas untuk membangunkan dasar rekreasi negara yang berteraskan keselamatan awam.


Kepala air adalah fenomena lazim di negara kita, sebahagian kecil menyebabkan kehilangan jiwa. Seperti api, air juga boleh diumpamakan 'kecil-kecil jadi kawan, apabila besar jadi lawan'.


Penyelesaian terbaik untuk meminimumkan bencana kepala air ialah melalui peningkatan pengetahuan dan kesedaran awam. Kita perlu bertanggungjawab atas keselamatan diri dan keluarga.


Penulis adalah Pengerusi Kluster Alam Sekitar & Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM)

Comentários


Bring global news straight to your inbox. Sign up for our weekly newsletter.

  • Instagram
  • Facebook
  • Twitter

Thanks for subscribing!

© 2023 - 2025 by MyAlam. Powered and secured by Tezla Resources

bottom of page