![](https://static.wixstatic.com/media/nsplsh_56734e576935674e496245~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_735,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_avif,quality_auto/nsplsh_56734e576935674e496245~mv2.jpg)
Agensi meteorologi antarabangsa meramalkan pembentukan El Nino bermula pertengahan tahun ini hingga awal 2024, menyebabkan banyak negara mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah kesan buruk fenomena itu terhadap sektor pertanian.
Menurut Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO), fenomena El Nino dijangka meningkat pada penghujung tahun ini hingga awal tahun depan dengan kebarangkalian melebihi 90 peratus.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula melaporkan kebarangkalian El-Nino adalah sekitar 57 peratus pada Jun hingga September depan dan meningkat kepada 62 peratus pada September hingga November tahun ini.
Fenomena berkenaan terjadi apabila berlakunya pemanasan suhu permukaan Lautan Pasifik di sekitar Khatulistiwa melebihi 0.5 darjah Celsius berbanding nilai purata jangka panjang.
Berpandukan laporan Climate Change Scenarios For Malaysia 2001-2099 dikeluarkan MetMalaysia, kekerapan musim kering dan panas meningkat sejak 2005 di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Penyebab utama kejadian musim kering ini ialah fenomena El Nino yang kerap melanda seluruh rantau Asia Tenggara. Tanaman padi sebagai tanaman makanan ruji masyarakat negara ini antara paling berpotensi terkesan oleh perubahan iklim, sekali gus mengancam sekuriti bekalan beras negara.
Fenomena El Nino meningkatkan suhu antara 0.5 darjah Celsius hingga 2 Celsius, selain pengurangan jumlah hujan antara 20 hingga 60 peratus. Kedua-dua elemen utama cuaca ini sangat memberi kesan terhadap tanaman padi.
Cuaca panas berpanjangan sangat memberi kesan kepada tanaman padi kerana menyebabkan air di sawah semakin berkurangan, seterusnya tanah menjadi kering. Cuaca panas turut menyebabkan sumber air menjadi terhad dan pembekalan air ke sawah terpaksa dilaksanakan mengikut penggiliran.
Dalam keadaan ini, pokok padi memerlukan air untuk tumbuh dan membentuk tangkai, tetapi akan terganggu, seterusnya menjejaskan penghasilan padi.
Ini pastinya mengurangkan kualiti hasil pertanian, selain menjejaskan pendapatan petani, apatah lagi aktiviti sawah di sebahagian besar kawasan masih bergantung pada curahan air hujan.
Data permohonan Tabung Bencana sejak 2017 hingga 2021 merekodkan nilai kerosakan bagi tanaman padi akibat bencana kemarau sebanyak RM21.6 juta. Bagaimanapun, ini bergantung kepada variati diusahakan dan kawasan penanaman.
Pada Mei lalu, El Nino melanda negara memberi kesan ketara terhadap hasil dan kualiti padi negara dengan 7,800 daripada keseluruhan 26,833 hektar tanaman padi membabitkan 390 petani di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) terkesan dengan masalah ini ekoran cuaca panas dan kemarau.
KADA merekodkan kerugian lebih RM2.7 juta apabila hampir 30 peratus hasil padi di Kelantan, merosot akibat musim kemarau. Thailand yang menjadi pengeksport beras kedua terbesar dunia turut terkesan dengan hasil padi pada bulan itu berkurangan 26 peratus di bawah paras normal.
Secara umum, suhu optimum penanaman padi antara 24 hingga 34 darjah Celsius dan hujan tahunan melebihi 2,000 milimeter. Hasil penyelidikan Institut Penyelidikan Beras Antarabangsa (IRRI) menunjukkan kenaikan suhu pada waktu malam sebanyak satu darjah Celsius boleh mengurangkan hasil padi kira-kira 10 peratus.
Pada 1998, hasil padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) didapati berkurangan daripada 4.88 tan/ha kepada 4.45 tan/ha selepas berlaku peningkatan suhu daripada 28.5 darjah Celsius kepada 29 darjah Celsius.
Corak hujan tidak teratur dan tekanan air pula meningkatkan intensiti beberapa penyakit padi seperti 'karah daun padi' yang menyumbang kepada pengurangan hasil padi.
Oleh itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta agensi berkaitan mempunyai tanggungjawab besar untuk memantau kesan dihadapi golongan petani di seluruh negara, sekali gus membantu mereka susulan fenomena El Nino teruk ini.
Langkah drastik elak rugi besar
Persiapan awal sangat perlu terutama membabitkan aspek bekalan air mencukupi, sekali gus menjamin sektor pertanian tidak terjejas dengan ketara, terutama membabitkan operasi pengeluaran padi dan beras negara.
Antaranya memastikan takungan empangan di kawasan utama penanaman padi negara seperti di MADA dan KADA berada pada tahap baik serta mencukupi bagi menampung keperluan aktiviti tanaman padi.
Aspek lain perlu diberi perhatian adalah menasihatkan pesawah supaya mempercepatkan aktiviti dan mematuhi jadual penanaman padi ditetapkan. Tumpuan juga perlu mengambil kira dalam memastikan bekalan air dapat diagihkan dengan sempurna mengikut fasa ditetapkan, selain memaksimumkan stesen pam guna semula bagi menjimatkan air daripada empangan.
Malah, pengoperasian pam bergerak untuk membekalkan air ke kawasan terjejas juga antara aspek penting. Selain itu, kerjasama pesawah menguruskan air pada peringkat sawah secara berhemah sangat penting dalam memastikan bekalan air dapat diagihkan dengan sempurna dan mengelakkan pembaziran.
Beberapa langkah drastik bagi memastikan petani tidak mengalami kerugian lebih besar, termasuk mengenal pasti lokasi mengandungi sumber air bawah tanah untuk dialirkan keluar menerusi telaga tiub, menyesuaikan jadual bekalan air, di samping melaksanakan kerja pembuangan lumpur di tali air dan struktur utama bagi melancarkan aliran air ke sawah.
Langkah lain dalam menangani kesan El Nino juga adalah pelaksanaan pengairan sawah secara Alternate Wetting and Drying (AWD) bagi menggantikan pengairan secara 'banjir'.
Pembangunan dan penggunaan variati benih padi tahan banjir atau tahan kemarau (padi anaerob dan padi aerob) perlu dipertimbang, selain memperkenalkan insurans pertanian untuk mengurangkan risiko perubahan iklim.
Data ramalan hujan MetMalaysia dan kajian Impak Perubahan Iklim oleh Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) disepadukan bagi memberikan maklumat ramalan kemarau serta ketersediaan sumber air seawal dua bulan ke hadapan dan amaran seawal 14 hari ke hadapan kepada pihak berkaitan dalam pengurusan air di negeri dan Persekutuan sangat membantu dalam membuat keputusan terutama dalam penentuan pengurusan pengairan padi.
Sistem ini juga dapat membantu perancangan masa lebih sesuai untuk penanaman padi dengan merujuk kepada ketersediaan sumber air hujan dan kuantiti isi padu sungai serta empangan.
Akhirnya, operasi pembenihan awan di sekitar kawasan tadahan empangan apabila ketiadaan hujan atau apabila baki simpanan air di empangan semakin menyusut juga mampu meminimumkan permasalahan dihadapi pesawah.
Oleh Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman
Profesor Madya Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM)
Comments