![](https://static.wixstatic.com/media/nsplsh_80b08032cd3e4eeaa39c262459a22b39~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_652,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_avif,quality_auto/nsplsh_80b08032cd3e4eeaa39c262459a22b39~mv2.jpg)
PARIS: Perancis kini teruk dilanda perubahan iklim dan tidak bersedia untuk mendepani kesannya serta gagal mengurangkan pelepasan karbon secukupnya, menurut sebuah badan iklim bebas yang mengeluarkan amaran terbabit.
Majlis Tertinggi bagi Perubahan Iklim Perancis (HCC), dalam laporan tahunannya, menjelaskan rekod panas dan kemarau luar biasa yang dilihat tahun lalu sudah memberi kesan serius di Perancis dan lebih buruk berbanding keupayaan sistem pengurusan dan pencegahan semasa.
Menurut laporan itu, negara Eropah barat itu turut merekodkan suhu pada 2.9 darjah Celsius melebihi purata 1991-2020.
"Kami ketinggalan," menurut Presiden HCC dan pakar klimatologi, Corine Le Quere, yang menggesa kerajaan untuk keluar daripada mod reaktifnya dan menghasilkan strategi penyesuaian awalan dan transformasi, lapor AFP pada 29 Jun 2023.
Berdasarkan laporan sama, pertanian sudah teruk terjejas, dengan hasil tanaman turun 10 hingga 30 peratus, sementara keadaan kemarau menyaksikan hampir tiada pembiakan dalam kalangan beberapa amfibia serta pembiakan unggas air juga rendah atau tidak normal.
Katanya, krisis air minuman pula menjejaskan lebih 2,000 kawasan, sementara 8,000 yang lain meminta supaya ia diwartakan sebagai kawasan bencana alam akibat kemarau manakala sistem kesihatan juga merekodkan 2,816 lebihan kematian pada tahun lalu.
Laporan itu juga menyatakan Perancis kurang bersedia untuk memerangi kebakaran hutan, sekali gus memaksa mereka mendapatkan bantuan dari luar negara.
Minggu lalu, laporan Pertubuhan Meteorologi Sedunia dan Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah (EU), memberitahu Eropah menjadi benua paling cepat panas di dunia, kira-kira 2.3 darjah Celsius lebih panas tahun lalu berbanding zaman pra-industri.
Benua itu, yang sudah mengalami pemanasan purata global dua kali ganda sejak 1980-an, menyaksikan musim paling panas dalam rekodnya tahun lalu, dengan negara termasuk Perancis, Jerman, Itali, Portugal, Sepanyol dan United Kingdom merekodkan tahun paling panas.
Perancis komited untuk mengurangkan pelepasannya karbon sebanyak 40 peratus menjelang 2030, berbanding tahap ditetapkan pada 1990.
Matlamat itu perlu diperkukuh bagi mengambil kira sasaran baru Eropah sebanyak 55 peratus, kata Le Quere.
HCC menggesa dasar ekonomi meluas yang memerlukan pembiayaan awam dan swasta, sekitar 30 bilion euro (RM153 bilion) setahun sehingga 2030 untuk mengurangkan pelepasan karbon ekonomi, memberi keutamaan kepada pengangkutan serta sektor penyumbang terbesar.
"Ini bermakna semua kelemahan cukai yang membiayai bahan api fosil mesti dihapuskan, menerusi jadual waktu tetap", kata presiden HCC. - AFP
Comments