top of page

Lebih 100 maut dalam 4 hari akibat gelombang panas di India

Writer's picture:  MOHD EZLI  MASHUT MOHD EZLI MASHUT





GLOBAL | NEW DELHI: Gelombang haba luar biasa di utara India sejak empat hari lalu, menyaksikan beberapa hospital merekodkan lebih 100 kematian terutama di Uttar Pradesh dan timur Bihar yang mencatat 96 kematian.

Kakitangan perubatan berkata kebanyakan mangsa strok haba berusia 60 tahun ke atas, dengan gejala demam panas, muntah, cirit-birit, kesukaran bernafas dan masalah jantung, lapor AGENSI pada 19 Jun 2023.


Doktor percaya kadar kematian tinggi adalah kerana suhu melampau sejak kebelakangan ini dan siasatan sedang dijalankan untuk menentukan kaitan haba dan kelembapan yang menyebabkan kematian.


Di daerah Ballia yang memiliki kira-kira tiga juta penduduk, suhu tinggi harian sejak empat hari lalu berlegar sekitar 43 darjah Celsius, iaitu 9 darjah Celsius lebih panas berbanding biasa manakala kelembapan relatif dicatatkan berada di paras 53 peratus.


Saintis dari Jabatan Meteorologi India (IMD), Atul Kumar Singh, berkata kadar suhu di negeri timur India kini secara purata melebihi tahap biasa dan dijangka berterusan.


Rekod menunjukkan puluhan kematian direkodkan di hospital di kawasan Ballia pada 15, 16 dan 17 Jun.


Ketua Pegawai Perubatan daerah Ballia, Dr Jayant Kumar, berkata di Bihar terdapat 23 orang maut Khamis lalu, dan 11 orang lagi meninggal dunia pada hari seterusnya, sekali gus menyifatkan jumlah kematian itu adalah lebih tinggi berbanding kebiasaan.


Bercakap kepada agensi berita Press Trust of India, Dr Kumar berkata purata lapan orang disahkan mati setiap hari, kebanyakan adalah kematian semula jadi.


"Sebahagian besar adalah orang tua yang menderita penyakit yang berbeza termasuk diabetes dan darah tinggi.


"Kita masih mengkaji sejauh mana kesan suhu melampau mungkin menyumbang kepada peningkatan mendadak kadar kematian ini," katanya.


Bekas ketua penguasa perubatan daerah Ballia, Dr Diwakar Singh, yang ditemubual pemberita Jumaat lalu berkata 34 orang meninggal dunia akibat strok haba di hospital utama di bawah pengawasannya.


Memetik laporan akhbar tempatan yang mengumpul angka daripada pegawai dan hospital berbeza mendapati sebanyak 54 kes kematian di Ballia dan tambahan 44 kes direkodkan di Bihar sejak tiga hari lalu.


Dalam pada itu, ribut taufan, puting beliung dan hujan diramalkan melanda Uttar Pradesh serta Bihar dalam tempoh dua hari lagi, diharapkan dapat mengurangkan suhu yang kini berada pada paras agak tinggi.


Musim panas sepanjang bulan April, Mei dan Jun lazimnya adalah tempoh paling panas di India sebelum hujan monsun menyebabkan penurunan suhu.

Comments


Bring global news straight to your inbox. Sign up for our weekly newsletter.

  • Instagram
  • Facebook
  • Twitter

Thanks for subscribing!

© 2023 - 2025 by MyAlam. Powered and secured by Tezla Resources

bottom of page