![](https://static.wixstatic.com/media/nsplsh_4f662d4e587545434a6245~mv2_d_4581_2607_s_4_2.jpg/v1/fill/w_980,h_558,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_avif,quality_auto/nsplsh_4f662d4e587545434a6245~mv2_d_4581_2607_s_4_2.jpg)
GLOBAL | QUEBEC: Lebih 500 kebakaran berlaku di Kanada, dengan lebih satu pertiga daripadanya di Quebec, yang menyaksikan kepulan asap mengaburi latar langit New York dan Monumen Washington di Amerika Syarikat (AS) selama beberapa hari pada minggu lalu.
Agensi Berita Antarabangsa AFP pada 17 Jun 2023 melaporkan jutaan penduduk terpaksa mengharungi keadaan berjerebu dan menghirup udara dengan asap tebal, selain sekolah dan taman permainan ditutup.
Ia dianggap sebagai pencemaran udara toksik terburuk dalam sejarah AS dan Kanada, yang direkodkan sejak kebelakangan ini, sekali gus memberi dunia gambaran baharu mengenai bahaya kebakaran hutan.
Jerebu dan pencemaran udara dikaitkan dengan kebakaran hutan yang lazimnya berlaku di negara Asia Tenggara kini turut dirasai di Barat termasuk negara Nordic yang iklimnya lebih sejuk.
Beberapa saintis iklim menegaskan, kebakaran hutan adalah tragedi yang mengejutkan, namun mungkin menjadi perkara biasa di tengah-tengah pemanasan global.
Keadaan seumpamanya bukan sesuatu yang baharu, malah semakin kerap berlaku di pantai barat AS. Sejak 2017, California menyaksikan lapan daripada 10 kebakaran hutan terbesarnya, dengan enam yang paling membawa kemusnahan.
Di seluruh hemisfera utara, musim panas bermula dengan keadaan cuaca yang panas melampau, daripada kebakaran besar di Kanada hingga kemarau di Sepanyol.
Malah, Eropah Utara yang terkenal dengan iklimnya yang sederhana, mengalami musim bunga kering tidak dijangka dan musim panas yang awal, dengan pakar memberi amaran mengenai risiko tinggi kebakaran hutan, seperti yang melanda tengah Sweden pada 2018.
Mengikut perkhidmatan pemantauan Eropah, Copernicus, 90 peratus daripada Denmark terjejas akibat kemarau pada akhir Mei.
Tempoh tanpa hujan berlaku lebih lama dan lebih kerap di negara Scandinavia yang dihuni 5.9 juta orang.
Pihak berkuasa kini menggesa orang ramai untuk mengehadkan penggunaan air dan melarang pembakaran terbuka.
Copernicus melaporkan, 51 peratus di Finland terjejas akibat kemarau, selain 48 peratus di Sweden, di mana kebakaran pada 2018 memusnahkan kira-kira 25,000 hektar hutan.
Di Finland, suhu pada minggu ini berada pada sekitar 30 darjah Celsius manakala di Helsinki, jauh melebihi tahap normal, dengan risiko kebakaran hutan di kawasan barat daya 'agak tinggi'.
Menurut pakar iklim, Gustav Strandberg, Sweden kini dilanda cuaca paling kering sejak awal Jun, yang tidak pernah dialami dalam tempoh 20 tahun lalu.
Di Finland, suhu berada sekitar 30 darjah Celsius sepanjang minggu ini, jauh lebih tinggi berbanding biasa, dengan 'ancaman tinggi' berlaku penyebaran kebakaran hutan wilayah barat daya.
Norway juga mengalami cuaca kering luar biasa, walaupun perubahan iklim menyebabkan peningkatan 20 peratus kadar kelembapan udara sejak 1900, menurut agensi alam sekitar Norway.
Comments