![](https://static.wixstatic.com/media/nsplsh_5ae2517190f84813a22b06df5c1f4705~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_735,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_avif,quality_auto/nsplsh_5ae2517190f84813a22b06df5c1f4705~mv2.jpg)
PERUBAHAN CUACA | JAKARTA: Pembenihan awan di Indonesia menjelang fenomena cuaca El-Nino yang dijangka berlaku lewat tahun ini adalah penting untuk mengelakkan kebakaran hutan yang teruk, seperti mana yang berlaku sebelum ini.
Indonesia berkata tahun ini mereka akan lebih bersedia untuk berdepan serangan El-Nino, apabila suhu permukaan laut di bahagian timur Lautan Pasifik meningkat, membawa kepada cuaca lebih panas dan kering ke Asia Tenggara.
Oleh itu, sekiranya mereka menunggu terlalu lama untuk memulakan proses persediaan, maka jumlah awan hujan pada bulan Ogos akan menjadi sedikit, lapor AFP pada 1 Julai 2023.
Jumlah kakitangan dan peralatan sudah mula dipertingkatkan dengan ketara, malah sistem arahan diperkukuh sejak 2020 untuk mempercepatkan tindak balas terhadap kebakaran hutan sebelum merebak di luar kawalan.
Sumatera Selatan, di mana jerebu tebal berlaku akibat kebakaran ladang pada 2015 sehingga menyelubungi beberapa negara serantau lain, berkemungkinan menjadi kawasan paling terjejas oleh El-Nino, menurut ramalan Agensi Meteorologi, Geofizik dan Klimatologi (BMKG) Indonesia.
"Kami mempunyai lebih banyak peralatan dan kakitangan berbanding tahun-tahun sebelumnya. Kami juga membuat persiapan awal dan menjangkakan senario 2015 tidak akan berulang.
"Tompok panas dan kebakaran sebenarnya sudah mula muncul hingga bulan Jun dan kami berjaya memadamkannya," kata ketua Agensi Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), Leftenan Jeneral Suharyanto.
Ketua data bencana, maklumat dan komunikasi di BNPB, Dr Abdul Muhari, berkata Indonesia memperuntukkan 38 helikopter pengebom air untuk enam wilayah yang terdedah kepada kebakaran, termasuk Sumatera Selatan, Riau dan Kalimantan Tengah.
"Sistem arahan dan penyelarasan kini membolehkan kami memadam kebakaran dengan lebih cepat, terima kasih kepada peraturan presiden 2020 yang memungkinkan usaha ini," katanya.
Arahan Presiden Nombor Tiga, mengenai Tebatan Kebakaran Hutan dan Ladang membolehkan rantaian arahan yang lebih cepat ke peringkat kerajaan terendah di seluruh Indonesia.
Sebagai tindak balas kepada kritikan sesetengah pihak bahawa hujan boleh mencetuskan banjir dengan sebahagian Indonesia masih mengalami hujan, penyelaras analisis iklim BMKG, Dr Supari, berkata pembenihan awan tidak boleh ditangguhkan.
Matlamat pembenihan, tambahnya, adalah untuk membawa hujan ke atas empangan, tanah gambut dan sawah padi, bukannya di bandar.
BMKG meramalkan bahawa El-Nino tahun ini mungkin tidak terlalu teruk untuk Indonesia, kerana perkembangannya bermula agak lewat tahun ini.
El-Nino yang bermula pada separuh kedua tahun ini, seperti pada 2019, 2009, 2006 dan 2004, cenderung menjadi lemah atau sederhana.
"Pada 2023, ia bermula pada Jun, hampir kepada separuh kedua tahun ini," katanya.
Sumber - AFP
留言