top of page

Cuaca terlalu panas, 13 maut di AS

Writer's picture:  MOHD EZLI  MASHUT MOHD EZLI MASHUT



SUHU MELAMPAU | HOUSTON: Seramai 13 penduduk maut akibat gelombang haba melampau di selatan Amerika Syarikat (AS) selama dua minggu.

Pegawai berkata, udara di bahagian lain negara itu pula tercemar akibat kebakaran hutan di Kanada.


Katanya, jumlah kematian tertinggi, 11 orang, didaftarkan di Webb County, Texas, berhampiran sempadan Mexico, lapor AFP pada 1 Julai 2023.


"Sehingga Rabu, terdapat 11 kematian. Daripada jumlah itu, 10 ialah penduduk Webb County. Kematian ke-11 pula (individu) dari daerah bersebelahan yang dibawa ke hospital tempatan," kata pegawai tempatan.


Seorang kanak-kanak berusia 14 tahun meninggal dunia minggu lalu ketika dia mendaki di Taman Negara Big Bend di Texas, iaitu suhu mencecah 48 Celsius.


Malangnya, bapa tiri mangsa pula maut dalam kemalangan kereta ketika dia bergegas menyelamatkan anak tirinya itu.


Seorang wanita berusia 62 tahun mati di negeri bersebelahan, Louisiana, minggu lalu, selepas ribut yang menyebabkan beribu-ribu keluarga tanpa bekalan elektrik sekali gus penyaman udara tidak dapat digunakan, menurut pegawai tempatan.


Dalam beberapa hari kebelakangan ini, suhu di beberapa bandar di selatan AS sekitar 45 darjah Celsius.


Terjadi beberapa kes kepanasan melampau hingga menyebabkan turapan jalan merekah di Houston dan Texas, menyebabkan pihak berkuasa menubuhkan pusat penyejukan di bandar.


Sementara itu, Kanada terus bergelut dengan musim kebakaran hutan terburuk dalam sejarah, fenomena yang dikatakan saintis diburukkan lagi oleh perubahan iklim disebabkan oleh manusia.


Ketika asap merebak ke selatan, sebahagian besar AS yang menempatkan lebih 120 juta orang, dari Midwest ke Pantai Timur, kekal dengan amaran kualiti udara.


Di New York dan Philadelphia, udara dianggap tidak sihat, menurut platform kerajaan AirNow.


Makluman kualiti udara juga dikeluarkan di wilayah Ontario Kanada, serta untuk kebanyakan tempat di Tasik Besar Amerika Utara dan sebahagian Minnesota, Carolina Utara dan Georgia.


Asap dari kebakaran hutan juga sudah merentasi Lautan Atlantik dan ke seluruh negara Eropah, termasuk Portugal dan Sepanyol.


Sumber - AFP

Comments


Bring global news straight to your inbox. Sign up for our weekly newsletter.

  • Instagram
  • Facebook
  • Twitter

Thanks for subscribing!

© 2023 - 2025 by MyAlam. Powered and secured by Tezla Resources

bottom of page