top of page

Alam mula 'tunjuk taring' kepada manusia

Writer's picture:  MOHD EZLI  MASHUT MOHD EZLI MASHUT


TAHUN lalu, kita menyaksikan suhu di United Kingdom (UK) memecah rekod sebagai tertinggi pernah dialami iaitu 40 darjah Celsius. Di Malaysia, walaupun ada kalanya terasa bahang atau panas, suhu negara ini belum pernah begitu tinggi.

Namun, Mei lalu amat mengejutkan. Pada April, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran gelombang haba tahap berjaga-jaga di beberapa negeri. Suhu tertinggi direkodkan ialah 38.4 darjah Celsius di Negeri Sembilan, kurang 2.0 darjah daripada rekod tertinggi iaitu 40.1 Celsius di Chuping, Perlis pada 1998.


Ini adalah sebahagian daripada gelombang haba luar biasa di seluruh rantau ini. Suhu di Thailand, Myanmar, Bangladesh dan Vietnam, kesemuanya mencecah 40 darjah Celsius bagi tempoh berlanjutan.


Satu aspek suhu melampau ini amat membimbangkan adalah kesan La Nina semasa yang sepatutnya menyebabkan musim panas lebih sejuk pada tahun ini. Dengan peralihan ke El Nino diramalkan berlaku akhir tahun ini, saintis meramalkan keadaan mungkin akan menjadi lebih panas pada tahun depan.


Maka, ironinya ialah tahun ini mungkin tahun paling panas pernah negara alami, tetapi juga paling sejuk akan negara alami. Kita sedang menuju detik yang mana manusia tidak akan dapat menyesuaikan diri kepada keadaan haba melampau sedang berlaku.


Tekanan haba meluas dilaporkan. Pada 25 April lalu, terdapat satu laporan seorang kanak-kanak meninggal dunia akibat penyakit berkaitan haba. Di beberapa negeri, rakyat dinasihatkan berada di tempat terlindung manakala sekolah menangguhkan aktiviti luar bagi mengelakkan berlakunya kemalangan akibat haba melampau.

Pada masa sama, penggunaan elektrik sedang memuncak apabila pengguna terus bergantung pada pendingin hawa untuk menyejukkan badan, lantas meningkatkan pelepasan karbon dioksida (CO2).


Pelepasan CO2 ini bertanggungjawab terhadap fenomena haba melampau sedang dialami dan akan terus melanda. Ini adalah perubahan iklim. Ini adalah alam semula jadi yang sedang menunjukkan taringnya. Taringnya ditunjukkan kepada manusia yang bertanggungjawab berlakunya perubahan iklim. Tiada pihak lain dipersalahkan. Seperti pepatah Melayu - 'Buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat'.


Maka, sebagaimana perbuatan manusia merosakkan muka bumi ini, begitulah tindak balas alam boleh mengancam kesejahteraan dan kesihatan manusia.


Penulis membaca tinjauan penyelidik bebas IPSOS diterbitkan sempena Hari Bumi bulan lalu dengan sedikit kebimbangan. IPSOS meninjau 21,000 orang di 29 negara, termasuk 500 orang di Malaysia.


Walaupun hasil tinjauan memberi keyakinan negara sedang memberi perhatian kepada perubahan iklim, dan usaha untuk memeranginya adalah tanggungjawab bersama, kita masih teragak-agak untuk berdepan dengan tanggungjawab bersama.


Satu pertiga daripada koresponden merasakan perubahan tingkah laku peribadi tidak akan membawa sebarang perubahan. Hampir separuh merasakan Malaysia seakan diminta untuk melakukan terlalu banyak pengorbanan bagi menangani perubahan iklim.


Satu pertiga merasakan bahawa sudah terlambat untuk bertindak manakala 40 peratus berpendapat sekarang bukan masa sesuai untuk menangani perubahan iklim kerana keadaan ekonomi teruk. Satu pertiga berpendapat impak negatif perubahan iklim masih terlalu jauh untuk dibimbangkan buat masa sekarang.


Tanggapan kita mengenai perubahan tingkah laku berkesan sedikit terpesong. Selama ini, kita menganggap hanya dengan mengamalkan kitar semula sudah cukup menangani isu perubahan iklim. Ya, kitar semula tetap penting tapi ia tidak dapat mengakhiri isu perubahan iklim.


Kehidupan bebas kereta, bertukar ke dapur pelepasan rendah, mendesak pembekal tenaga menghijaukan penjanaan elektriknya, menaiki bas dan kereta api, kurang memakan daging merah dan berhenti membeli barangan tidak diperlukan secara berlebihan, kesemua tindakan ini memberi impak lebih besar untuk mengurangkan pelepasan karbon.


Segala tindakan kita mempunyai kesan dan akibat. Kita sering membincangkan tanggungjawab terhadap generasi masa depan. Sedarkah kita generasi masa depan itu sudah berada di sini sekarang.


Mereka terdedah kepada akibat daripada sikap endah tak endah kita sekarang. Mereka akan berdepan dengan fenomena haba melampau dan banyak lagi impak perubahan iklim.


Namun, kita masih belum terlambat. Pengorbanan diperlukan tidak begitu hebat jika dibandingkan dengan mereka yang berjuang untuk kemerdekaan, mereka yang hidup di dalam genggaman kolonialisme, dan mereka yang berhempas pulas di bawah dasar feudalisme.


Kini giliran kita untuk 'berkorban' dengan mengubah tingkah laku ke arah kehidupan lebih mampan. Sebagai sebuah negara, kita tidak boleh lari daripada tanggungjawab untuk memimpin.


Malaysia memainkan peranan utama dalam kesihatan planet di rantau ini. Di pentas antarabangsa, Persidangan Ke-28 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim (COP 28) akan membabitkan perbincangan khusus mengenai kesihatan manakala Mesyuarat Menteri-menteri Kesihatan akan bersidang untuk kemajuan menangani kesan kesihatan akibat perubahan iklim.


Kita mempunyai peluang untuk menunjukkan usaha negara bagi mengarusperdanakan kesihatan planet dalam semua dasar dan pelan negara melalui pendekatan keseluruhan negara untuk menangani ekosistem, biodiversiti, kesihatan dan perubahan iklim dalam usaha mencapai pembangunan berpaksikan manusia dan planet.


Kita masih belum terlambat bahkan sedang menuju ke arah yang betul namun pada kadar terlalu perlahan. Untuk mempercepatkannya, kita perlu menerima tanggungjawab, mengakui perjalanan ini sukar dan menyakitkan, tetapi ingatlah mereka yang menderita sebelum ini supaya kehidupan kita lebih baik daripada mereka. Sekarang adalah giliran kita.


Oleh Dr Jemilah Mahmood

Penulis adalah Pengarah Eksekutif Pusat Kesihatan Planet, Universiti Sunway

Comments


Bring global news straight to your inbox. Sign up for our weekly newsletter.

  • Instagram
  • Facebook
  • Twitter

Thanks for subscribing!

© 2023 - 2025 by MyAlam. Powered and secured by Tezla Resources

bottom of page