top of page

16 belia bawa kes perubahan iklim ke mahkamah AS

Writer's picture:  MOHD EZLI  MASHUT MOHD EZLI MASHUT



MONTANA: Seramai 16 belia termasuk kanak-kanak membawa beberapa kes perubahan iklim di Montana, Amerika Syarikat (AS) ke mahkamah dengan perbicaraan pertama selama dua minggu kini bermula di mahkamah negeri.


Mereka membawa kes membabitkan dasar mesra bahan api fosil yang didakwa memburukkan lagi pemanasan global dan mengancam masa depan mereka, lapor REUTERS pada 13 Jun 2023.


Plaintif yang berusia antara dua hingga 18 tahun ketika memfailkan tuntutan mahkamah mereka pada 2020, mahu Hakim, Kathy Seeley di Helena mengisytiharkan dasar negeri yang mesra bahan api fosil itu melanggar hak mereka.


Peguam bagi plaintif, Roger Sullivan, berkata kos dan kesan dasar tenaga di Montana didakwa melanggar peruntukan Perlembagaan negeri yang menjamin hak untuk persekitaran yang bersih dan sihat.



Sisa plastik seberat 2,200 Menara Eiffel dibuang ke tasik, sungai, laut setiap tahun

Pentadbiran Biden lulus projek Willow di Alaska, cetus kebimbangan kesan terhadap iklim

Beliau berkata, tindakan itu diharap akan menjadi contoh yang penting dan menggalakkan wakil rakyat di ibu negeri untuk mengambil tindakan yang lebih hebat bagi memerangi perubahan iklim.


"Tindakan berterusan negeri untuk mencemarkan bahan api seperti arang batu dan gas menyumbang kepada krisis global yang mencairkan glasier dan menjadikan sungai semakin kering.


"Hasilnya, ia menyebabkan plaintif mengalami kerosakan psikologi, kesihatan dan ekonomi," katanya.


Sementara itu, plantif utama, Rikki Held, 22, dalam keterangannya memberitahu perubahan iklim membawa kesan buruk di ladang keluarganya di timur Montana.


Beliau berkata, kemarau menyebabkan ternakan keluarganya mati dan kebakaran hutan mencemarkan udara.


Katanya, bagaimanapun beliau optimis perkara terbabit boleh berubah.


"Kami mempunyai teknologi dan ilmu, justeru kami hanya perlukan empati dan kesediaan untuk melakukan perkara yang betul," katanya.


Peguam, Mark Stermitz, yang mewakili negeri, berkata perbicaraan itu dijangka berlangsung dengan penuh emosi serta disusuli dengan banyak andaian, tuduhan, spekulasi dan ramalan terutamanya, ketakutan berhubung masa depan.


Namun, katanya, hakikatnya jauh lebih 'membosankan' daripada apa yang didakwa plantif kerana pelepasan gas rumah hijau Montana kini semakin berkurangan.


"Golongan muda tidak mencabar dasar yang sepatutnya dan jika tidak sah, ia bermakna mengubah kesan negeri terhadap iklim," katanya.


Beliau berkata demikian susulan dasar utama yang disasarkan dalam tuntutan mahkamah, iaitu Akta Dasar Alam Sekitar Montana, ialah undang-undang prosedur yang memerlukan semakan alam sekitar untuk projek besar tetapi tidak mewajibkan hasil tertentu.


Peguam negara berulang kali cuba menggugurkan kes itu sebelum perbicaraan, dengan alasan perubahan iklim adalah isu yang paling baik ditangani melalui proses politik, bukan di kamar mahkamah.

Comments


Bring global news straight to your inbox. Sign up for our weekly newsletter.

  • Instagram
  • Facebook
  • Twitter

Thanks for subscribing!

© 2023 - 2025 by MyAlam. Powered and secured by Tezla Resources

bottom of page