top of page

Pahala Bacaan al-Quran pada Ibu-Bapa Yang Telah Meninggal Dunia

  • Writer:  MOHD EZLI  MASHUT
    MOHD EZLI MASHUT
  • Jun 19, 2023
  • 4 min read



Soalan :


Assalamualaikum Ustaz. Saya mohon pencerahan berkenaan pahala bacaan al-Quran. Bolehkah sedekah kepada Almarhum/mah kedua ibubapa dan saudara mara yang telah meninggal dunia? Dalam bentuk apa saya boleh sedekah kepada Almarhum/mah selain dengan cara waqaf? Adakah boleh memberi sedekah wang atas nama Almarhum/mah?


Jawapan :


Waalaikumussalam w.b.t.


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.


Kami mulakan dengan riwayat daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:


إذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ: إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ


Maksudnya: “Apabila matinya seorang manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya, atau anak soleh yang sentiasa mendoakannya.”


Riwayat Muslim (4310), Abu Dawud (2882), al-Nasa’i (6445) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (12635)


Hadith di atas menunjukkan kepada terangkatnya taklif kepada si mati, serta berpindahnya dari alamnya (iaitu dunia) ke alam barzakh, di mana ia bukan lagi tempat untuk beramal (beribadah). Apabila sudah terputusnya amalan, maka terputuslah juga pahala yang dikurniakan bagi suatu amalan tersebut. Manakala lafaz “إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ” (kecuali tiga perkara) pula bermaksud pahala tiga perkara itu adalah berkekalan bagi seseorang selepas kematiannya, dan itu adalah disebabkan oleh kekalnya kesannya (atharnya), lalu membawa kepada kekalnya pahalanya. (Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 7/8).


Menjawab bagi persoalan di atas, hukum menghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada orang Islam yang telah meninggal dunia telah kami bahaskan pada artikel yang bernombor #1608. Untuk mengetahui perbahasan yang lebih terperinci, tuan/puan bolehlah merujuk pada link yang telah kami sertakan.[1]


Secara ringkasnya menghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia termasuk dalam perkara yang diperselisihi oleh para ulama. Namun, pendapat yang kuat adalah pahala bacaan al-Quran yang dihadiahkan kepada mereka dapat memberi manfaat dan sampai kepada mereka. Inilah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal dan sebahagian ulama yang lain serta sebahagian ulama mazhab Syafi‘I sebagaimana yang telah dinukilkan oleh Imam al-Nawawi. (Lihat al-Azkar, hlm. 164-165).


Selain itu,suka kami nyatakan juga antara cara untuk berbakti kepada kedua-dua ibu bapa yang telah meninggal dunia adalah dengan melakukan amal soleh dan sentiasa mendoakan mereka kerana pahala ganjaran akan diperoleh melalui perbuatan anak tersebut umpama seseorang yang menanam pokok, akan diberikan pahala dari buahnya sama ada orang yang memakan itu berdoa untuknya ataupun tidak. Ini juga berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda :


إِنَّ مِمَّا يَلْحَقُ الْمُؤْمِنَ مِنْ عَمَلِهِ وَحَسَنَاتِهِ بَعْدَ مَوْتِهِ عِلْمًا عَلَّمَهُ وَنَشَرَهُ، وَوَلَدًا صَالِحًا تَرَكَهُ، وَمُصْحَفًا وَرَّثَهُ، أَوْ مَسْجِدًا بَنَاهُ، أَوْ بَيْتًا لِابْنِ السَّبِيلِ بَنَاهُ، أَوْ نَهْرًا أَجْرَاهُ، أَوْ صَدَقَةً أَخْرَجَهَا مِنْ مَالِهِ فِي صِحَّتِهِ وَحَيَاتِهِ، يَلْحَقُهُ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهِ


Maksudnya : “Sesungguhnya kebaikan yang akan mengiringi seorang mukmin setelah ia meninggal adalah ilmu yang diajarkan dan disebarkan, anak soleh yang ditinggalkan dan Al-Qur’an yang dia wariskan, atau masjid yang dibangunkan, atau rumah yang dibina untuk orang musafir (yang kehabisan bekalan), atau sungai yang dialirkan, atau sedekah yang dikeluarkan dari hartanya ketika sihat dan ketika dia masih hidup. Semua amalan tersebut sentiasa akan mengiringi dirinya setelah kematiannya.”


Riwayat Ibu Majah (238)


Amalan-amalan ini akan terus mendatangkan pahala kepada seseorang setelah kematiannya. Demikian juga, hukum ini berlaku bagi segala kebaikan yang telah dilakukan oleh seseorang dan meninggalkan kesan setelah kematian.”


Kami akhiri dengan sepotong hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:


مَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَىْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَىْءٌ


Maksudnya: “Sesiapa yang menjadi pelopor suatu amalan kebaikan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya ganjaran semisal ganjaran orang yang mengikutinya dan sedikitpun tidak akan mengurangi ganjaran yang mereka peroleh. Sebaliknya, sesiapa yang menjadi pelopor suatu amalan keburukan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa semisal dosa orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi dosanya sedikit pun.”


Riwayat Muslim (1017)


Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.


Wallahu a‘lam.




DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


Berkelulusan PhD dengan pengkhususan dalam bidang fatwa di USM, beliau juga merupakan Ahli Dewan Negara, Anggota The Muslim Council of Elders (UAE), Anggota The Assembly of Muslim Jurists of America (USA), mantan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) dan mantan Mufti Wilayah Persekutuan. Antara guru beliau sepanjang pengajian di peringkat BA (Madinah) dan MA (Syria) adalah Syeikh Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buti, Syeikh Muhammad 'Ali Thani, Syeikh Rushdi Qalam, Syeikh Dr. Muhammad Abdullatif Soleh al-Farfour, Syeikh Dr. Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syinqiti, Syeikh Dr. Muhsin al-'Abbad dan ramai lagi.



Ya Allah, ampunilah dia dan berilah rahmat kepadanya. Selamatkanlah dirinya dan berilah pengampunan kepadanya, muliakanlah tempat tinggalnya, luaskanlah kuburnya, dan mandikanlah dia dengan air, salju dan embun. Bersihkanlah dirinya dari dosa-dosa sebagaimana membersihkan baju putih dari kotoran, dan gantilah untuknya rumah yang lebih baik daripada rumahnya, dan keluarga yang lebih baik daripada keluarganya. Dan pasangan yang lebih baik dari pasangannya, Dan masukkanlah dia ke dalam syurga serta peliharalah dirinya dari seksa kubur dan seksa neraka.

 
 
 

Comments


bottom of page