top of page

Jangan Bersedih, Wahai Manusia

  • Writer:  MOHD EZLI  MASHUT
    MOHD EZLI MASHUT
  • Jun 9, 2023
  • 4 min read





Wahai umat manusia sekalian, hai orang yang bosan dengan kehidupan, yang tidak berghairah dalam hidup ini, yang hari-harinya sempit dan jalan nafasnya tersumbat, di sana ada kemenangan yang nyata, pertolongan yang semakin dekat, jalan keluar dari kesempitan dan kemudahan setelah kesulitan.

Di sekitar anda ada perkara-perkara kecil yang tersembunyi. Ada cita-cita yang indah, ada masa depan yang menjanjikan dan ada janji yang pasti.


(Sebagai) janji yang sebenar-benarnya dari Allah. Allah tidak akan menyalahi janjiNya...(Ar-Rum : 6)


Sesungguhnya kesempitan yang anda rasakan akan ada jalan keluarnya. Dalam musibah yang anda hadapi ada perkara yang akan menyelamatkan anda dari musibah itu sendiri. Justeru, dalam perkara-perkara yang tidak anda sukai itu ada kenikmatan dan kebaikan.


...segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan dukacita dari kami...

(Fatir : 34)


Wahai umat manusia, sudah saatnya anda mengganti keraguan dengan keyakinan, penyelewengan hati dengan kebenaran, kecelaruan fikiran dengan hidayah dan kesesatan jalan dengan petunjuk.


Sudah saatnya anda menyingkap kegelapan dengan fajar Sadiq, mengganti harapan yang pahit dengan keredaan yang manis dan cubaan yang gelap dengan cahaya yang menerangi segala kebohongan.


Wahai umat manusia, di sebalik ladang yang gersang itu ada tanah subur yang rezekinya melimpah-ruah.


Di atas gunung yang pejal ada kebun yang sangat subur, yang tidak perlu siraman hujan lebat. Kebun itu memberikan khabar gembira, harapan yang baik dan cita-cita.


Wahai orang yang tidak nyenyak tidur dan yang selalu mengeluh kerana kegelapan, kegelapan akan tersingkap dan bergembiralah dengan datangnya pagi.


...bukankah subuh itu sudah dekat.

(Hud : 81)


Pagi yang akan menyinarkan cahaya, kegembiraan dan kesenangan.


Wahai orang yang harinya ditimpa kesedihan, melangkah dengan perlahan, di ufuk sana telah tersedia jalan keluar yang akan memberikan keringanan.


Wahai orang yang matanya selalu digenangi air mata, hentikan aliran air mata itu dan berikan kenikmatan kepada kedua bola matamu itu. Tenanglah, kerana anda berhak mendapatkan perlindungan dari Pencipta dan pemeliharaan dan kebijaksanaanNya. Tenanglah, qadak telah selesai, kebijaksanaan telah dirumuskan, rintangan sudah dapat dihilangkan, otot-otot kekuatan telah kembali segar dan pahala telah ditetapkan bagi yang terus berusaha.


Tenanglah, kerana anda sedang berurusan dengan Zat Yang Berkuasa atas urusanNya, Yang Maha Bijaksana atas hamba-hambaNya, Yang Maha Pengasih terhadap makhlukNya dan Yang Maha Indah dalam segala pengaturanNya.


Tenanglah, kerana akhir dari perjalanan itu adalah kebaikan, hasilnya adalah kesenangan dan penutupnya adalah kemuliaan.


Setelah kefakiran itu akan ada kesegaran, setelah perpisahan akan ada pertemuan, setelah bertengkar akan datang kerukunan, setelah terputus akan tersambung kembali dan setelah tidak tidur malam pasti akan dapat tidur nyenyak.


...kamu tidak mengetahui barangkali Allah mengadakan sesudah itu suatu perkara yang baru.

(At-Talaq : 1)


Seorang penyair mengatakan :


Perapian mereka terlihat saat malam mulai gelap

dan penggiring unta sudah letih

serta penunjuk jalan telah kebingungan.

Kurenungkan perapian itu

sedang fikiranku tidak menentu kerana perpisahan

dan mataku sudah letih.

Hatiku adalah hati seorang yang menderita

dan kerinduan yang mencengkamku

begitu mendalam.

Kami bertanya

kepada Yang Maha Melindungi

lagi Yang diharapkan pertolonganNya

dalam setiap musibah

masih adakah jalan keluar dari derita ini.

Maka ternyata kami jumpai Dia

Raja Yang berlimpah pemberianNya

Esa lagi Maha Agung.


Hai orang yang hidup menderita di bumi kerana didera kelaparan, kesempitan, kesengsaraan, penderitaan, kefakiran dan penyakit, bergembiralah, kerana sesungguhnya engkau bakal kenyang, bahagia, senang dan sihat.


Dan malam ketika telah berlalu dan subuh apabila mulai terang.

(Al-Muddathir : 33-34)


Seorang penyair mengatakan :


Malam pasti berlalu

dan belenggu pasti akan patah.

Barang siapa yang takut mendaki gunung

nescaya selamatnya akan hidup

di antara galian-galian.


Sebagai seorang hamba, seharusnya berbaik sangka pada Tuhannya, menunggu kurnia dariNya dan mengharapakan kebijaksanaanNya. Sesungguhnyaa Tuhan yang perintahNya hanya memakai kalimah "kun" (jadilah), maka harus percaya kepada janjiNya. Tidak seorang pun yang dapat memberikan kebaikan kecuali dia dan tidak pula seorang pun yang dapat menghentikan bahaya kecuali dia. Di dalam setiap jiwa, Dia telah menentukan kebijaksanaan, dalam setiap gerakan ada hikmah dan setiap saat Dia memberikan jalan keluar. Dia yang menjadikan pagi hari setelah malam, Yang menurunkan hujan setelah kegersangan, untuk mengetahui siapa yang bersabar dan siapa yang tidak, Yang memberi kenikmamatan hanya kerana Dia ingin mendengar pujian dari hambaNya dan Yang menurunkan bencana supaya hamba lebih menguatkan tali hubungan denganNya dan banyak memohon kepadaNya.


...dan mohonlah kepada Allah sebahagian dari kurniaNya...

(An-Nisa' : 32)


Berdoalah kepada Tuhanmu dengan berendah diri dan suara yang lembut..

(Al-A'raf : 55)


Diriwayatkan Al-'Ala' bin Al-Hadhrami tersesat dengan para sahabatnya di tengah padang pasir. Bekalan air mereka telah habis dan hampir saja mati kehausan. Al-'Ala' pun menyeru kepada Tuhannya dan Tuhan Yang Mendengar lagi Maha Mengabulkan doa : "Wahai Zat Yang Maha Tinggi, Yang Maha Agung, Yang Maha Bijaksana dan Yang Maha Tabah..." dan tiba-tiba turunlah hujan. Mereka pun minum, berwuduk, mandi dan memberi minum pada haiwan tunggangan mereka.


Dan dialah Yang menurunkan hujan sesudah mereka berputus asa dan menyebarkan rahmatNya. Dan Dialah Yang Maha Pelindung lagi Maha Terpuji.

(Asy-Syu'ara : 28)


Renungan :


Mencintai Allah, bermakrifat kepadaNya, selalu berzikir kepadaNya, mencari ketenangan denganNya, menenangkan hati di sisiNya, takut, berharap dan tawakkal hanya kepadaNya, dengan keyakinan bahawa Dialah Yang menguasai segala keinginan dan kemahuan hamba, itu semua adalah syurga dunia dan kenikmatan yang tidak dapat disamakan dengan kenikmatan lain. Dan itu adalah kesenangan dan kehidupan bagi mereka yang mencintai Allah.




Rujukan :

Jangan Bersedih - Setelah Kesulitan Pasti Ada Kesenangan


Penterjemah :

Noraine Abu


Penyunting :

Dr. Mohd Puzhi Usop


Diterbitkan oleh :

Al-Hidayah Publication

27, Jalan DBP, Dp, Dolomite Business Park, 68100 Batu Caves, Selangor.

 
 
 

Commentaires


bottom of page